Selasa, 21 Februari 2017

11 Sifat Orang Beriman yang Bergelar 'Ibaad-ur-Rahmaan (عِبَادُ الرَّحْمَٰن)

Setiap manusia punya matlamatnya yang tersendiri. Manakan tidak. Jika hidup hanya berpaksikan makan dan tidur semata-mata, sia-sia dan bosanlah hidup. Sedangkan Allah telah mencipta kita dengan tujuan tertentu - mencari redha-Nya, mencari bekal ke negeri yang abadi lagi aman, yakni Syurga yang tak pernah dilihat, dirasa, apatah lagi didengari di dalamnya. Nikmat yang benar-benar tak terhingga!

Kita biasa mendengar gelaran seperti Dato', Datin, Professor, Doktor, dan sebagainya. Ini semua anugerah yang diberi oleh sesebuah institusi atau badan dek kejayaan yang dicapai oleh individu tertentu. Jika gelaran Dato' diberi oleh seorang Sultan, apakah pula gelaran yang diberi oleh Raja Sekalian Alam kepada orang-orang yang dikasihi-Nya?

'Ibaad-ur-Rahmaan. Hamba Allah.

Ya, Dalam hal ini, Allah telah menggunakan namanya yang Agung, Ar-Rahmaan, dalam gelaran 'Ibaad-ur-Rahmaan itu. Secara alih bahasa, maksudnya adalah 'hamba-hamba kepada Yang Maha Penyayang'.

Siapakah gerangan hamba yang Allah sendiri akui sebagai 'Ibaad-ur-Rahmaan ini?

Berbanding dengan gelaran yang dianugerahkan oleh manusia, gelaran 'Ibaad-ur-Rahmaan ini terdapat pada orang-orang beriman yang memiliki sifat tertentu. Satu gelaran yang diberi hanya kepada mereka yang berterusan mengamalkannya.

Sifat-sifat tersebut ada disenaraikan satu persatu dalam Surah Al-Furqaan bermula dari ayat ke-63 hingga 74. Apa yang menarik, hamba dapati ayat-ayat ini acap kali dibaca oleh para imam di surau. Jom, kita lihat apa sifat-sifat yang dikehendaki oleh Allah untuk menjadikan kita di kalangan 'Ibaad-ur-Rahmaan.

(1) Tawadhuk

وَعِبَادُ الرَّحْمَٰنِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الْأَرْضِ هَوْنًا
Maksudnya: "Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun...
(Surah Al-Furqaan: sebahagian daripada ayat 63)

(2) Ucapan yang baik

وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلَامًا
Maksudnya: "...dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini;"
(Surah Al-Furqaan: sebahagian daripada ayat 63) 

(3) Suka bertahajjud

وَالَّذِينَ يَبِيتُونَ لِرَبِّهِمْ سُجَّدًا وَقِيَامًا 
Maksudnya: "Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri,
(Surah Al-Furqaan: ayat 64)

(4) Rasa takut akan seksa Allah

وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا اصْرِفْ عَنَّا عَذَابَ جَهَنَّمَ ۖ إِنَّ عَذَابَهَا كَانَ غَرَامًا
إِنَّهَا سَاءَتْ مُسْتَقَرًّا وَمُقَامًا 
Maksudnya: "Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab neraka Jahannam dari kami, sesungguhnya azab seksanya itu adalah mengertikan"
(Surah Al-Furqaan: ayat 65)

"Sesungguhnya neraka Jahannam itu tempat penetapan dan tempat tinggal yang amat buruk"
(Surah Al-Furqaan: ayat 66) 

(5) Bersederhana dalam berbelanja/infaq

وَالَّذِينَ إِذَا أَنفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْنَ ذَٰلِكَ قَوَامًا 
Maksudnya: "Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu."
(Surah Al-Furqaan: ayat 67)

(6) Menjauhkan diri daripada syirik

وَالَّذِينَ لَا يَدْعُونَ مَعَ اللَّهِ إِلَٰهًا آخَرَ 
Maksudnya: "Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah,"
(Surah Al-Furqan: sebahagian daripada ayat 68)

(7) Tidak melakukan pembunuhan yang diharamkan

وَلَا يَقْتُلُونَ النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ 
Maksudnya: "dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak),"
(Surah Al-Furqan: sebahagian daripada ayat 68)

(8) Menjauhkan diri daripada zina

وَلَا يَزْنُونَ 
Maksudnya: "dan tidak pula berzina;"
(Surah Al-Furqan: sebahagian daripada ayat 68)

(9) Menjauhkan diri daripada perkara yang sia-sia

وَالَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ الزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا 
Maksudnya: "Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya."
(Surah Al-Furqaan: ayat 72)

(10) Senang terima nasihat yang baik

وَالَّذِينَ إِذَا ذُكِّرُوا بِآيَاتِ رَبِّهِمْ لَمْ يَخِرُّوا عَلَيْهَا صُمًّا وَعُمْيَانًا 
Maksudnya: "Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, tidaklah mereka tunduk mendengarnya secara orang-orang yang pekak dan buta."
(Surah Al-Furqaan: ayat 73)

(11) Sentiada berdoa dan bermunajat kepada Allah

وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: "Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa."
(Surah Al-Furqaan: ayat 74)


Sabtu, 9 Januari 2016

Anekdot Sang Kumbang Badak

Hairan aku melihat dirimu hai sang kumbang badak. Badanmu besar tapi bisa berterbangan di ruang udara. Apa agaknya andaian manusia ketika pertama kali menemuimu wahai sang kumbang?

"Mustahil boleh terbang!"

"Badannya besar, nak berjalan pun lembap!"

"Binatang ini, tanduk je dah besar. Boleh terbang? Jangan haraplah!"

Andai engkau peduli kata-kata mereka, mungkin saja engkau terguris. Kata mereka mungkin benar, mungkin tidak. Apa engkau kisah? Engkau pun tak faham. Dalam sekelip mata sahaja engkau melebarkan sayap lalu bingkas ke ruang udara lalu meninggalkan mereka dalam keadaan terlopong.

Aku mengambil hikmah terciptanya dirimu.

Sabtu, 26 Disember 2015

Persembahan Anakanda Bertiga Sempena Hari Kreativiti Tadika Generasiku Bandar Baru Bangi

Persembahan Bolly Dance oleh anak-anak puteri Tadika Generasiku.
Lama tak masuk blog. Dua bulan berlalu. Pos kali ini mempersembahkan anakanda kami bertiga sempena Hari Kreativiti & Konvokesyen ke-8 Tadika Generasiku Bandar Baru Bangi.

Video 'Bolly Dance' yang diambil pihak tadika kebetulan memaparkan aksi anak-anakanda kami. Aneesah di tengah, Sakeenah di bahagian kiri, dan Sumayyah (berseluar kuning, berbaju bunga) sebagai special apperance ... :)

Catatan Tambahan: Alhamdulillah, hari ini doktor benarkan Aneesah pulang ke rumah. Chemo terhenti untuk seketika sementara nak habiskan ubat acyclovir.

Isnin, 21 Disember 2015

Kembali Ke ISO

Jumaat malam, adik-beradik semua berkumpul dirumah bersembang dan merancang percutian bersama pada hari minggu yang masih berbaki sebelum sesi persekolahan bermula kembali. Setelah disepakati, kami bercadang untuk pergi berkelah pada Hari Sabtu atau Ahad di Bagan Lalang. 

Keesokan pagi, Ummi keluar mencari lauk-pauk untuk dijadikan menu picnic pada hari Ahad. Selesai membasuh dan menyimpan kesemua lauk ke dalam peti, Ummi meneruskan tugasan membasuh dan menjemur kain sambil Abi dan anak-anak bersama-sama mengemas rumah.

Ketika sedang menjemur kain, Aneesah memanggil Ummi dan mengadu belakangnya gatal-gatal. Ummi melihat dibelakangnya dan mendapati Aneesah telah dijjangkiti Chicken Pox. Ummi segera menghubungi kakak sulong yang merupakan seorang doktor untuk mendapatkan pengesahan. Kakak telah mengesahkan Aneesah dijangkiti Chicken Pox dan perlu segera dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum virus merabak lebih teruk ke seluruh badan. Hati Ummi begitu berat untuk meninggalkan Sakeenah dan Sumayyah berhari-hari dirumah bersama Abi setelah sekian lama Aneesah tidak masuk ke wad, namun untuk kebaikan Aneesah, Ummi terpaksa akur. Alhamdulillah 'ala kulli hal..Allah menguji Ummi untuk melihat sejauh mana Ummi mampu bersabar dan redha. Ummi Abi redha kerana rutin kehidupan kami sememangnya begini sejak Aneesah disahkan Leukimia setahun yang lalu.

Apa yang Ummi pelajari sejak Aneesah disahkan Leukimia adalah erti syukur pada Allah atas segala nikmat dan anugerah ujian. Allah menguji kita tanda Allah sayang, apabila kita mampu bersabar dan redha, maka Allah menjanjikan syurga buat hamba-hambaNya yang bertaqwa dan bersabar dengan ujian. Walaupun diuji, hati tetap bahagia kerana merasa cukup dengan adanya Allah disisi. Bahagia itu bukanlah dengan kesenangan hidup, bukanlah dengan banyaknya harta, anak pinak mahupun sahabat handai. Bahagia itu bukan juga terletak pada pangkat mahupun kemasyhuran tetapi bahagia yang sebenar adalah apabila hati mengenal Allah sebagai Tuhan yang sebenar dan merasai cukup serta bahagia dengan segala pemberian dalam bentuk nikmat mahupun ujian.

p/s: Doakan Aneesah kuat melawan virus chicken pox ye..moga2 tiada komlikasi lain..Aameen ya Rabb

Ahad, 13 September 2015

Tak Ada Duit, Tak Boleh Hidup

Dalam keadaan tidak sengaja, mungkin kita pernah mengungkapkan kata-kata syirik seperti di atas. Terkesan sungguh dengan ketiadaan wang hingga merasakan wang itu segala-galanya. Duitlah yang boleh menyembuhkan anak kita daripada penyakitnya. Duitlah yang boleh membuat anak kita jadi bijak pandai; hantar sekolah, bayar tusyen, beli buku latih tubi, dan sebagainya. Duitlah yang mampu mengurniakan kebahagiaan untuk keluarga kita.

Duitkah punya kuasa untuk menentukan nasib kita semua?

Diri ini pun sering kali tertipu dengan dunia. Maka sama-samalah kita beristighfar, memanjatkan doa agar Allah tetapkan hati kita semua untuk mengagungkan-Nya dan menyedari hakikat kekuasaan-Nya. Tiada siapa yang lebih berhak menentukan nasib kita melainkan Allah.

Terdetik saya untuk menulis entri ini kerana sebuah video ceramah Ustaz Azhar Idrus (minit 45:27 hingga 46:11):


Suka untuk saya berkongsi satu mesej WhatsApp. Apa kata kita menjawabnya:
Beri jawapan di tempat kosong di bawah ini dan mohon dijawab dengan jujur di dalam hati masing-masing.

1. Allah menciptakan tertawa dan ______
2. Allah itu mematikan dan ______
3. Allah menciptakan lelaki dan ______
4. Allah memberikan kekayaan dan ______

Kebanyakkan kita tentu akan dengan mudah menjawab:
1. Menangis
2. Menghidupkan
3. Perempuan
Tapi bagaimana no. 4? Adakah Kemiskinan menjadi jawapannya???

Untuk mengetahui jawapannya, mari kita lihat rangkaian firman Allah dalam Surah An-Najm ayat 43-45, dan 48, sebagai rujukan:
ﻭَﺃَﻧَّﻪُ ﻫُﻮَ ﺃَﺿْﺤَﻚَ ﻭَﺃَﺑْﻜَﻰ
"dan Dia-lah yang menjadikan orang tertawa dan menangis." (QS. An-Najm : 43).
ﻭَﺃَﻧَّﻪُ ﻫُﻮَ ﺃَﻣَﺎﺕَ ﻭَﺃَﺣْﻴَﺎ
"dan Dia-lah yang mematikan dan menghidupkan." (QS. An-Najm : 44).
ﻭَﺃَﻧَّﻪُ ﺧَﻠَﻖَ ﺍﻟﺰَّﻭْﺟَﻴْﻦِ ﺍﻟﺬَّﻛَﺮَ ﻭَﺍﻟْﺄُﻧﺜَﻰ
"dan Dia-lah yang menciptakan berpasang-pasangan lelaki-lelaki dan perempuan. " (QS. An-Najm : 45).
ﻭَﺃَﻧَّﻪُ ﻫُﻮَ ﺃَﻏْﻨَﻰ ﻭَﺃَﻗْﻨَﻰ
"dan Dia-lah yang memberikan kekayaan dan kecukupan." (QS. An-Najm : 48).

Ternyata jawapan kita semua betul untuk no. 1-3, tetapi jawapan untuk no. 4 ramai keliru.
Jawapan Allah Ta'ala dalam Al-Qur'an bukan Kemiskinan, tapi KECUKUPAN.

Subhanallah. Sesungguhnya Allah Ta'ala hanya memberi Kekayaan dan Kecukupan kepada hamba-Nya. Dan ternyata yang "menciptakan" kemiskinan adalah diri kita sendiri.

Itulah hakikatnya, mengapa orang-orang yang sentiasa bersyukur; walaupun hidup serba kekurangan ia akan tetap tersenyum dan merasa cukup, bukan merasa miskin!

Jadi, marilah kita bangun rasa kesyukuran dan kecukupan di dalam hati dan fikiran kita, berhenti mengeluh, berhenti mengatakan rezeki kecil, agar kita menjadi hamba-Nya yang selalu bersyukur.

Semangat menjemput rezeki yang halal, biar semakin berkat.. In shaa Allah.

Sabtu, 11 Julai 2015

Siapakah Tuhan Tatkala Azan Berkumandang

Apabila azan berkumandang, apakah reaksi kita sebagai orang yang beriman? Seruan azan ibarat panggilan Tuhan kepada manusia yang beriman agar pergi bertemu denganNya bagi memenuhi kewajipan yang telah ditetapkan. Siapa gamaknya sanggup menangguh seruan yang Maha Besar, Raja dan Pentadbir Sekalian Alam.

Marilah kita bermuhasabah dan hayati pesanan yang disampaikan oleh Imam ini:



Duhai teman yang budiman, ingat baik-baik pesanan Imam:
"Jika anda tidak (berhenti kerja sebaik mendengar azan), anda sebenarnya sedang menyatakan dengan tindakan anda bahawa Allah bukan Maha Besar..."
Semoga kita semua saling ingat-mengingati.

Khamis, 9 Julai 2015

'Akatsuki' Bertarawih di Surau

Ingatkan siapalah gerangan jinchūriki yang menghuni taman kami hingga muncul seseorang yang berjubah Akatsuki di surau beberapa tarawih yang lalu. Rupa-rupanya setelah bertanya kepada encik Google, bajunya memang ada di jual di pasaran. Barang kali empunya badan telah buat pesanan atas talian. Yang tua-tua, mungkin tak kenal. Sekadar jubah terbelah di hadapan dengan lambang awan berwarna merah. Ada apalah sangat. Tapi bagi kami yang selalu mengikuti siri Naruto sejak zaman universiti, tentu rasanya pelik.


Ada juga manusia lagu ni. Menurut bacaan saya di Internet, hukumnya tidak boleh memakai sesuatu pakaian jika menyerupai sesuatu kaum.

Moga kita dijauhkan daripada memperolokkan agama. Na'udzubillhi min dzaalik. Ketahuilah bahayanya: Memperolok-olok syariat Islam.