Khamis, 27 Februari 2014

Rutin Berubah

Kini sudah lebih sebulan sejak doktor diagnos Aneesah sebagai penghidap leukemia. Rutin kami - apa lagi, memang berubah.

Aneesah telah selamat tamat fasa pertama ratawan chemo. Kini beliau melangkah ke fasa kedua. Kali ini tidaklah begitu kerap ke hospital. Hanya sekali seminggu ke hospital. Cuma cara ubatnya dimasuk sekarang melalui tulang belakang. Rawatan ini dipanggil intrathecal chemotherapy atau istilah pendek yang selalu para doktor dan jururawat gunakan adalaha 'IT'. Sebabnya untuk mengelak sel-sel kanser leukemia daripada terus merebak ke otak menerusi cecair tulang belakang (cerebrospinal fluid - CSF).

Aneesah & Sakeenah

Khamis, 13 Februari 2014

Dexamethasone: Penambah Selera

Kebelakangan ini, Aneesah makin berselera makan. Memang doktor ada sebut yang ubat dexamethasone akan beri kesan pada selera makan. Awal-awal lagi kami diingatkan untuk sedia makan waktu malam.

Masya-Allah, dahsyat juga seleranya. Pukul 2 @ 3 pagi dah bangun minta makan. Waktu Subuh, Aneesahlah orang pertama menjamu selera :)

Tak mengapalah, asalkan makan untuk sihat dan bertenaga.

Selasa, 11 Februari 2014

Ayat-ayat Ruqyah untuk Pesakit Leukemia

Kebetulan ketika menonton TV, isteri saya ada menonton sebuah rancangan yang panelnya adalah Ustaz Sharhan. Beliau begitu terkenal sebagai seorang penceramah dan pengamal perubatan Islam. Berikut adalah bacaan ayat-ayat Al-Qur'an yang disaran beliau bagi mereka yang mengalami penyakit leukemia:
  • Surah Al-Faatihah
  • Ayatul-Kursi
  • Surah Al-Mu'min: ayat 11 - 14
  • Surah Al-Hasyr: ayat 21
Bacalah ayat-ayat tersebut pada air Zamzam lalu minum.

Wallahu'alam.

Isnin, 10 Februari 2014

Tarbiah Allah Di Sebalik Mehnah Hidup

Gunakanlah prinsip “Ujian hidup ialah satu didikan langsung daripada Tuhan”, insyaAllah kita akan dapat kekuatan dan ketenangan dalam menghadapi hidup ini. Percayalah, Allah mendidik kita melalui kesusahan, kesenangan, pujian mahupun cercaan. Apabila bertemu kesusahan, Allah mendidik kita erti sabar. Apabila kesenangan bertamu, Allah mengajar kita erti kesyukuran. Apabila si miskin datang, itu peluang untuk mengamalkan sifat pemurah. Tetapi apabila si kaya menjengah, jangan pula terjejas sifat Qanaah. Ingat, Tuhan mendidik kita pada setiap masa, peristiwa dan manusia.

 Hakikatnya, hidup adalah sebuah sekolah yang mana orang, situasi dan kondisi yang menjadi punca ujian itulah sebenarnya guru kita. Sentiasa ada maksud tersirat yang perlu kita pelajari daripada semua itu. Hadapilah ujian hidup dengan mencari maksud disebalik takdir-takdir Allah itu. Dengarlah suara tarbiah dan dakwah yang berbisik setiap kali kita diuji. Ingatlah kebaikan dan keburukan hanya ada pada penilaian insan, tetapi disisi Allah, apa yang ditakdirkanNya pasti suatu kebaikan. Maka carilah kebaikan itu dengan mata hati nescaya kita mampu melihat hikmah yang tersembunyi.

Jangan mengeluh dan memberontak, asyik mempersoalkan mengapa dan kenapa, justeru kita tidak akan dapat mengubah reality. Bukankah takdir akan sentiasa mengatasi tadbir? Seharusnya kita tunduk dan akur pada takdir dengan mengatur sebaik-baik tadbir. Terimalah sesuatu ujian itu dengan pasrah, tetapi jangan sesekali kita mengalah. Hati tunduk akur bertemankan sabar namun akal ligat berputar mencari jalan keluar!

 Kerana itu jadilah kita seorang hamba yang menjadikan aqidah sebagai akar jati diri, syariat sebagai kompas hidup dan akhlak sebagai senjata diri. Carilah kebaikan, milikilah kebaikan dan warisilah kebaikan. Ingatlah kebaikan itu bukan hanya pada yang harum dan indah, tetapi juga ada pada yang busuk dan hodoh. Bukankah najis itu boleh ditukar menjadi baja dan penawar bias ular itu datangnya daripada racunnya jua.

Akhir kalam, tidak cukup kita hanya menjadi baik tetapi berilah kebaikan. Jika kita menghulur kebaikan, kebaikan itu akan pulang semula pada kita. Walaupun mugkin kebaikan kita tidak akan mengubah orang lain yang tetap bersikap negative terhadap kita, namun kebaikan itu sebenarnya telah pun menggembirakan dan menenangkan diri kita sendiri. Hapuskanlah dendam, iri hati dan marah yang bersarang dalam jiwa. Kemaafan pasti akan membuahkan kebaikan. Kebencian akan membuahkan kejahatan. Belajarlah menyayangi sesiapa jua, nescaya kita akan menjadi semakin jahil tentang kebencian dan permusuhan. Pasti ada maksud Tuhan menjadikan manusia wujud secara bersama di atas dunia ini. Seolah-olah Tuhan telah berpesan, belajarlah sesame insan nescaya kita akan terasa didikanNya…

Pulang Ke Rumah

10 - Feb- 2014

Alhamdulillah setelah sebulan berada di hospital, hari ni Aneesah akhirnya dapat pulang ke rumah. Alhamdulillah moga-moga Aneesah terus kuat untuk melawab penyakitnya dan bertahan untuk meneruskan chemotherapy sehingga ke akhirnya.

Tak sabar Ummi dan Aneesah nak pulang, hendak berjumpa dengan Sakeenah dan Sumayyah setelah berpisah selama berada dihospital. Hebat sungguh nikmat rindu yang Allah kurniakan buat mereka yang berkasih sayang.

Ahad, 9 Februari 2014

Jika Tuhanku Bertanya Kepadaku

Di kala berhadapan dengan situasi begini, ubat penenangnya adalah mengingati Allah.

Seorang sahabat telah berkongsi sebuah video youtube yang mampu menusuk sanubari kita semua. Mari kita amati bait syair berikut yang dikatakan telah membuat Imam Ahmad Bin Hanbal (Rahimahullah) menangis dalam mengenang nasibnya yang hakiki.


إِذَا مَا قَالَ لِي رَبّيِ أَما اسْتَحْيَيْتَ تَعْصِينِي
Jika Tuhanku bertanya kepadaku, tidak malukah kau bermaksiat kepada-Ku?

وَتُخْفِى الذَّنبَ عَنْ خَلْقِي وَبِالعِصْيَانِ تَأْتِينِي
Kau sembunyikan dosamu daripada makhluk-Ku dan datang kepada-Ku dengan penuh dosa.

فَكَيْفَ أُجِيبُ يَا وَيْحِي وَمَنْ ذَا سَوْفَ يَحْمِينِي
Bagaimana aku nak jawab duhai diriku yang malang? Dan siapalah yang dapat menyelamatkan aku?

أُسَلّيِ النَّفْسَ بِلآمَالِ مِنْ حِينٍ إِلَى حِين
Aku terus menyogok jiwaku dengan impian dan harapan dari semasa ke semasa.

 وَأَنْسَى مَا وَرَاءَ المَوْتِ مَاذَا بَعْد تَكْفِينِي
Dan aku melupakan apa yang bakal dihadapi selepas mati dan apa yang berlaku selepas aku dikafankan.

كَأَنّيِ قَدْ ضَمِنْتُ العَيْشَ لَيْسَ المَوْتٌ يَأْتِينِي
Seolah-olah aku ini telah dijamin untuk hidup selamanya - seakan mati tidak akan menemuiku.

وَجَاءَتْ سَكْرَةُ المَوْتِ الشَّدِيدَةٌ مَنْ سَيَحْمَينَي
Dan telah datang kepadaku sakaratul maut yang ngeri. Nah! siapa sekarang yang mampu melindungiku?

نَظَرْتُ إِلَى الوُجُوهِ أَلَيْسَ مِنْهُم مَنْ سَيُفْدِينِي
Aku melihat pada wajah-wajah - apakah ada daripada mereka yang akan menebusku?

سَأُسْأَلُ مَا الَّذِي قَدَّمْتُ فِى دُنيَايَ يُنجِينِي
Akan ku disoal apa yang telah aku lakukan di dunia untuk menyelamatkan diri ini?

فَكَيْفَ إِجَابَتِي مِنْ بَعْد مَا فَرَّطتُ فِي دِينِي
Maka bagaimana akan ku jawab setelah aku mengabaikan urusan agamaku?

وَيَا وَيحِي أَلَمْ أَسْمَعْ كَلَامَ اللهِ يَدْعُونِي
Celakanya aku! Apakah aku tak mendengar ayat-ayat Allah yang menyeruku?

أَلَمْ أَسْمَعْ لِمَا قَدْ جَاءَ فِي ق وَيس
Adakah aku tak dengar apa yang telah diberitakan dalam Surah Qaaf dan Yaasin?

أَلَمْ أَسْمَعْ بِيَوْمِ الحَشْرِ يَوْمَ الجَمْعِ وَالدِينِ
Adakah aku tak dengar tentang hari dikumpulkan manusia, hari perhimpunan dan hari ad-Diin (Qiyaamah)?

أَلَمْ أَسْمَعْ مُنَادى المَوتِ يَدْعُونِي يُنَادِينِي
Adakah aku tak dengar panggilan ajal maut, menyeru dan menjemputku?

فَيَا رَبَّاهُ عَبْدٌ تَاءِبٌ مَنْ ذَا سَيَؤْوِيهِ
Maka ya Rabb! Seorang hamba datang bertaubat, siapa yang dapat melindunginya?

سِوَى رَبّ غَفُورٍ وَاسِعٍ لِلْحَقّ يَهْدِينِي
Melainkan Tuhan yang Maha Luas Pengampunan-Nya dan membimbingku kepada kebenaran.

أَتَيْتُ إِلَيْكَ فارْحَمْنِي وَثَقّلْ فِي مَوَازِينِي
Aku telah datang kepadaMu maka kasihanilah daku dan beratkan timbangan (kebaikan) ku.

 وَخَفّفْ فِي جَزَاءِي أَنتَ أَرْجَى مَن يُجَازِينِي
Dan ringankan (percepatkan) hisabku kerana Engkaulah yang terbaik dalam penghisaban.

Terjemahan asal bait syair telah dibuat oleh Mujahid Nordin.

Moga para pembaca sekalian mendapat ketenangan.

Sabtu, 8 Februari 2014

Bermulanya Chemotherapy - Cycle 1

19 - Jan - 2014

1 unit beg darah merah ditambah ke dalam darah Aneesah kerana bacaan darah merah sangat rendah.
Dexamethasone - Ubat chemo yang diminum 2 kali sehari telah diberi sebagai pendahuluan untuk rawatan chemo dan akan berterusan hingga habis induction phase selama sebulan ini.
Allopurinol - Ubat minum yang diambil 3 kali sehari selama 5 hari pada permulaan chemotherapy.

20 - Jan - 2014

Hari pertama chemotherapy induction phase. Platlet (sel darah kuning yang membantu pembekuan darah) ditambah ke dalam darah Aneesah sebanyak 2 unit bag sebelum melakukan procedure untuk mengambil cecair daripada tulang belakang. Intrathecal methotrexate (IT) dilakukan pada Aneesah di mana Doktor memasukkan ubat pada cecair tulang belakang agar mengalir ke bahagian otak untuk membunuh sel-sel leukimia yang terdapat pada otak. IT akan dilakukan pada hari 1, 8 dan 28 rawatan chemo.

21 - Jan - 2014

Hari kedua chemotherapy induction phase. Ubat Vincristine (dos pertama) dimasukkan melalui IV (saluran darah). Ubat ini akan dimasukkan sekali seminggu bermula hari 2, dan seterusnya hari 9, 16, 23, dan 30.

23 - Jan - 2014

ECG dan CT Scan dilakukan untuk memastikan tiada apa-apa masalah pada jantung dan paru-paru.
Asparaginase (dos 1) diberi melalui suntikan pada bahagian punggung. Sebanyak 12 dos akan diberi sepanjang induction phase.

01 - Feb - 2014

Aneesah demam dengan suhu 38.8 darjah calcius pada jam 11am. Sampel darah telah diambil untuk memastikan samada terdapat jangkitan kuman atau tidak. Aneesah dipindahkan ke wad pengasingan dan diberi antibiotik serta paracetamol selama 72 jam. Chemotherapy ditangguhkan seketika sementara menghabiskan dos antibiotik.

04 - Feb - 2014

Alhamdulillah Aneesah tiada demam sejak dipindahkan ke wad pengasingan dan keputusan darah menunjukkan tiada jangkitan kuman. Chemotherapy diteruskan kembali.

07 - Feb - 2014

'Bone Marrow Aspiration' kali kedua dilakukan untuk melihat sejauh mana keberkesanan rawatan chemo selama ini. InshaaAllah keputusan ujikaji akan diketahui pada hari isnin (10 Feb )











Jumaat, 7 Februari 2014

Ujian Bertamu

12 - Jan -  2014

Pagi itu Sakeenah (5 tahun) dan Sumayyah (4 bulan) dihantar ke rumah Ummi sementara kami membawa Aneesah ke Hospital Pakar An-Nur Bandar Baru Bangi. Doktor yang bertugas setelah merujuk pada doktor pakar kanak-kanak (Dr Arbaiyah) mengesyaki perkara yang sama seperti Kak Nor dan Kak Da. Aneesah diminta rujuk pada mana-mana hospital besar yang mempunyai pakar cancer kanak-kanak. Kami segera membawa Aneesah ke Hospital KPJ Kajang dan doktor yang bertugas ketika itu juga mengesyaki cancer darah. Namun kerana ketiadaan pakar, kami disarankan untuk segera merujuk pada HUKM. Menurut doktor, hanya 3 hospital sahaja yang mempunyai pakar  (pakar kanser kanak-kanak) iaitu PPUM, HUKM, dan Hospital Kuala Lumpur.

Pulanglah kami ke rumah dengan hati yang berat memikirkan bagaimanakah liku-liku hidup yang bakal ditempuhi. Menurut Doktor, kebiasaannya akan mengambil masa beberapa hari untuk mengenalpasti penyakit yang sebenar dan seterusnya rawatan yang diperlukan juga akan mengambil tempoh yang lama. Kami mengemas pakaian sebagai persediaan untuk  'berkampung' di hospital selama yang perlu.

Jam 6.30pm, kami sampai di HUKM bahagian kecemasan memandangkan hari Ahad tiada klinik pakar yang dibuka. Doktor mengambil sampel darah untuk 'blood count test' dan 'blood smear test'. Hasil ujikaji mendapati terdapat 'abnormality' pada sel darah dan bilangan sel darah putih juga lebih tinggi daripada bilangan normal - Diagnose yang sama diberi iaitu kanser darah atau lebih tepat leukemia.
Bermulalah episod 'perkampungan' kami di hospital.



15 - Jan - 2014
Jam 10 pagi, Aneesah dimasukkan ke bilik procedure untuk 'bone marrow aspiration' - Hasil ujikaji mengesahkan Aneesah menghidap 'Acute Limphoblastic Leukemia'  jenis B-Cell. Dr. Dorris selaku pakar yang mengendalikan kes Aneesah menerangkan protokol rawatan yang diperlukan untuk Aneesah. Rawatan akan mengambil masa lebih kurang 2 tahun untuk merawat sepenuhnya. Untuk initial phase, rawatan intensive akan diadakan selama sebulan dan perlu berada dalam wad selama tempoh itu. Namun, pada hari ke-15 rawatan 'chemo', Doktor akan mengulangi 'bone marrow aspiration' untuk melihat sejauh mana keberkesanan rawatan 'chemo'. Andai keputusan uji kaji itu baik, maka pesakit dibenarkan pulang ke rumah dan hanya perlu datang berulang alik ke hospital untuk meneruskan rawatan chemo mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh Doktor.

"Sesungguhnya Ujian itu adalah tarbiah Allah buat hambaNya agar hambaNya lebih dekat menghampiriNya. Barangsiapa yang mampu bersabar dan redha, maka ganjaran pahala yang tidak ternilai menanti mereka"

Sabar

Rentetan pos di laman Facebook - memohon doa para sahabat agar Aneesah kembali sembuh.
Antara intipati tazkirah yang pernah saya hadiri sebelum khutbah Jumaat di Surau HUKM adalah bersabar tatkala ditimpa musibah. Antara lain, muzakkir itu mengingatkan kami agar bersangka baik kepada Allah; menerima hakikat bahawa semua ini tentu ada hikmahnya. Seterusnya, kami diingatkan agar terus berusaha untuk mengubati penyakit yang ditimpa. Semoga Allah memudahkan urusan kami dan menjadikan kami tabah.

Saya bersyukur kerana sebaik sahaja pertemuan kami dengan Kah Da & Kak Nor, kami terus membawa Aneesah untuk pemeriksaan pada hari berikutnya. Begitu hebat percaturan Allah. Pada hari yang sama, keadaan Aneesah mula menunjukkan tanda-tanda penyakitnya yang lain - begitu mendadak perubahannya. Pucatnya makin ketara. Kesan-kesan luka mula timbul seperti bintik-bintik merah pada permukaan kulit (bruising/bleeding). Sakit tulangnya makin kuat hingga Aneesah tak mampu berdiri selain menangis.

Subhaanallah. Mujur ketika itu beliau sudah berada di HUKM. Doktor ada bagi ubat untuk melegakan sakitnya.

Pagi ini, Aneesah sedang menjalani bone marrow aspiration. Andai keadaan mengizinkan, kami dibenar bawanya pulang pada hari Selasa depan, insyaAllah. Walau bagaimanapun, rawatan susulan chemotherapy tetap diteruskan selepas itu.

Khamis, 6 Februari 2014

Ujian Menjengah

11 - Jan - 2014
Hari ulangtahun kelahiran adik perempuan Ummi (Tasnim). Kami berkumpul di rumah ma pada belah malam untuk majlis kesyukuran. Sedang Ummi bersiap, Abi menyatakan kerisauannya melihat perut Aneesah (Anak kedua) buncit lain macam dan buncitnya itu lebih kepada bahagian atas perut.

Setibanya di rumah Ma, persoalan yang sama diajukan oleh Ma berkenaan buncitnya perut Aneesah. Kebetulan Kak Nor pun ada ketika itu, diminta oleh Ma untuk memeriksa perut Aneesah. "Yati, liver dengan 'spleen' dia dah bengkak lah. Baik mu terus bawak dia gi jumpa pakar. Ada abnormaliti pada darah dia ni. Kelenjar dia pun dah bengkak ni. Aku takut dia kena cancer darah yati", ujar Kak Nor.

Luruh hati Ummi mendengar bicara Kak Nor. Terasa berat untuk menelan kata-kata itu. Hatiku menangis berdoa moga Allah selamatkan Aneesah daripada sebarang penyakit yang merbahaya. Kak Nor berbincang dengan Kak Da akan simptom - simptom yang dialami oleh Aneesah. Seingat Ummi, Aneesah pernah demam panas (suhu mencecah 40 darjah calcius) selama 3 hari dan berlarutab demam dengan suhu 38.8 ke atas sehingga seminggu. Namun kerana melihat Aneesah tetap aktif, kami hanya membawanya berjumpa doktor biasa dan antibiotic selama 5 hari telah diberi. Setelah demamnya pulih, namun selang seminggu, Aneesah mula demam dimalam hari sahaja. Hampir setiap malam badannya akan panas sehingga 38.7 darjah calcius dan sebelah paginya akan turun balik ke suhu normal. Demamnya pada belah malam berlarutan hampir 2 bulan lamanya. Kerap juga Aneesah mengadu sakit kaki dan selalu berasa letih.

Ummi dan Abi hanya mampu berdoa agar apa jua penyakit yang ditaqdirkan untuk Aneesah, moga Allah memberi kesembuhan yang sempurna pada dia dan memberi ketabahan pada kami untuk menerima ujian ini.

Ini Jendela

Ini jendela,
Itu pintu,
Itu papan tulis,
Ini lantai...

Begitu asyik Aneesah menyanyi. Usianya tika itu baru mencecah 2 tahun. Masih pelat tapi kata-katanya boleh dicam. Sakeenah pula lebih beriya menyanyi lagu 'Wonder Pets'.

Memandangkan lagu 'papan tulis' suatu yang unik, kami pun menamakan blog ini sebagai 'Itu Papan Tulis'. Lagi pun, bahagian tu yang Aneesah suka emphasize.

Keberadaan blog ini, walaupun tampak seperti sebuah catatan biasa, kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan maklumat kepada orang ramai selaku penjaga kepada seorang pesakit kanak-kanak yang menghidap leukemia.

Aneesah disahkan menghidap leukemia jenis ALL pada 15hb. Januari, 2014.
Jendela baru ini untuk kita saling ingat-mengingat; memahami makna tersirat di sebalik taqdir yang tersurat.