Jumaat, 7 Februari 2014

Sabar

Rentetan pos di laman Facebook - memohon doa para sahabat agar Aneesah kembali sembuh.
Antara intipati tazkirah yang pernah saya hadiri sebelum khutbah Jumaat di Surau HUKM adalah bersabar tatkala ditimpa musibah. Antara lain, muzakkir itu mengingatkan kami agar bersangka baik kepada Allah; menerima hakikat bahawa semua ini tentu ada hikmahnya. Seterusnya, kami diingatkan agar terus berusaha untuk mengubati penyakit yang ditimpa. Semoga Allah memudahkan urusan kami dan menjadikan kami tabah.

Saya bersyukur kerana sebaik sahaja pertemuan kami dengan Kah Da & Kak Nor, kami terus membawa Aneesah untuk pemeriksaan pada hari berikutnya. Begitu hebat percaturan Allah. Pada hari yang sama, keadaan Aneesah mula menunjukkan tanda-tanda penyakitnya yang lain - begitu mendadak perubahannya. Pucatnya makin ketara. Kesan-kesan luka mula timbul seperti bintik-bintik merah pada permukaan kulit (bruising/bleeding). Sakit tulangnya makin kuat hingga Aneesah tak mampu berdiri selain menangis.

Subhaanallah. Mujur ketika itu beliau sudah berada di HUKM. Doktor ada bagi ubat untuk melegakan sakitnya.

Pagi ini, Aneesah sedang menjalani bone marrow aspiration. Andai keadaan mengizinkan, kami dibenar bawanya pulang pada hari Selasa depan, insyaAllah. Walau bagaimanapun, rawatan susulan chemotherapy tetap diteruskan selepas itu.