Jumaat, 7 Februari 2014

Ujian Bertamu

12 - Jan -  2014

Pagi itu Sakeenah (5 tahun) dan Sumayyah (4 bulan) dihantar ke rumah Ummi sementara kami membawa Aneesah ke Hospital Pakar An-Nur Bandar Baru Bangi. Doktor yang bertugas setelah merujuk pada doktor pakar kanak-kanak (Dr Arbaiyah) mengesyaki perkara yang sama seperti Kak Nor dan Kak Da. Aneesah diminta rujuk pada mana-mana hospital besar yang mempunyai pakar cancer kanak-kanak. Kami segera membawa Aneesah ke Hospital KPJ Kajang dan doktor yang bertugas ketika itu juga mengesyaki cancer darah. Namun kerana ketiadaan pakar, kami disarankan untuk segera merujuk pada HUKM. Menurut doktor, hanya 3 hospital sahaja yang mempunyai pakar  (pakar kanser kanak-kanak) iaitu PPUM, HUKM, dan Hospital Kuala Lumpur.

Pulanglah kami ke rumah dengan hati yang berat memikirkan bagaimanakah liku-liku hidup yang bakal ditempuhi. Menurut Doktor, kebiasaannya akan mengambil masa beberapa hari untuk mengenalpasti penyakit yang sebenar dan seterusnya rawatan yang diperlukan juga akan mengambil tempoh yang lama. Kami mengemas pakaian sebagai persediaan untuk  'berkampung' di hospital selama yang perlu.

Jam 6.30pm, kami sampai di HUKM bahagian kecemasan memandangkan hari Ahad tiada klinik pakar yang dibuka. Doktor mengambil sampel darah untuk 'blood count test' dan 'blood smear test'. Hasil ujikaji mendapati terdapat 'abnormality' pada sel darah dan bilangan sel darah putih juga lebih tinggi daripada bilangan normal - Diagnose yang sama diberi iaitu kanser darah atau lebih tepat leukemia.
Bermulalah episod 'perkampungan' kami di hospital.



15 - Jan - 2014
Jam 10 pagi, Aneesah dimasukkan ke bilik procedure untuk 'bone marrow aspiration' - Hasil ujikaji mengesahkan Aneesah menghidap 'Acute Limphoblastic Leukemia'  jenis B-Cell. Dr. Dorris selaku pakar yang mengendalikan kes Aneesah menerangkan protokol rawatan yang diperlukan untuk Aneesah. Rawatan akan mengambil masa lebih kurang 2 tahun untuk merawat sepenuhnya. Untuk initial phase, rawatan intensive akan diadakan selama sebulan dan perlu berada dalam wad selama tempoh itu. Namun, pada hari ke-15 rawatan 'chemo', Doktor akan mengulangi 'bone marrow aspiration' untuk melihat sejauh mana keberkesanan rawatan 'chemo'. Andai keputusan uji kaji itu baik, maka pesakit dibenarkan pulang ke rumah dan hanya perlu datang berulang alik ke hospital untuk meneruskan rawatan chemo mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh Doktor.

"Sesungguhnya Ujian itu adalah tarbiah Allah buat hambaNya agar hambaNya lebih dekat menghampiriNya. Barangsiapa yang mampu bersabar dan redha, maka ganjaran pahala yang tidak ternilai menanti mereka"