Jumaat, 14 Mac 2014

Berita Adik Siti Damia

Innaa lillahi wa innaa ilaihi raaji'uun.

Tiba-tiba seorang wanita masuk ke bilik Aneesah lalu menghulurkan dua bungkus makanan.

"Kenal Siti Damia? Dia dah tak ada. Saya cuma wakil."

Namanya bagai pernah didengar sebelum ini. Saya 'google' namanya lalu terjumpa laman FB yang memapar wajahnya.

Siti Damia
Menurut isteri saya, Damia sudah dijemput kembali ketika Aneesah baru masuk ke wad.

Mudah-mudahan ibu bapanya tabah dan bersabar atas ujian ini.

*Aneesah telah keluar wad Isnin lepas (10/3/2014). Alhamdulillah. Semalam baru buat CT scan untuk buah pinggangnya.

Jumaat, 7 Mac 2014

Hari Ke-lima: Aneesah Masih di Bilik Isolasi

Meskipun dos antibiotik telah ditingkatkan, Aneesah masih lagi demam. Ujian darah setakat ini tidak menunjukkan kehadiran kuman. Bacaan ANC (absolute neutrophil count) pula masih tinggi. Apa yang saya faham, ANC yang tinggi menunjukkan antibodi badan masih kuat.

Apa pun, menurut doktor, ini perkara biasa bagi pesakit yang sedang menjalani rawatan chemotherapy. Memang beginilah rutinnya. Bahkan tambah doktor, mustahil pesakit chemo tak akan mengalami demam.

Wallahu A'lam. Begitu lemahnya kita. Betapa sempurnanya ciptaan kita ini hinggakan sekecil-kecil sel seperti darah putih, sel darah merah, dan platlet berperanan tinggi dalam menjaga ekosistem badan kita. Subhaanallah.

Ya Allah, Engkaulah yang Maha Penyembuh. Kurniakanlah kesembuhan buat anak kami Aneesah Baseerah.

Khamis, 6 Mac 2014

Tiyah - Siapakah Dirimu?

Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun. Kita dari Allah dan kepada-Nya jua kita akan kembali.

Insan yang saya kenali hanya melalui buah mulut rakan-rakan seperjuangan isteriku di wad onkologi kanak-kanak, PPUKM, telah kembali ke pangkuan Ilahi pukul dua pagi tadi.

Menerusi isteri saya, saya diberitahu bahawa Tiyah telah lama berada dalam keadaan lumpuh disebabkan kuman yang telah menyerang otaknya. Siapakah gerangannya dikau wahai Tiyah hingga mengundang sedih dalam diri ini. Siapakah dirimu hingga menyebabkan air mata ini menitis dalam diam-diam?

Perginya Tiyah menyebabkan uncle lagi erat memeluk anak-anak uncle.

Doa saya dan isteri buat ibu bapa serta keluarga arwah Tiyah - moga dikurniakan ketabahan hati dan redha. Hanya Allah sahaja yang mampu membalas kesabaran hamba-hamba-Nya.

* Sehingga hari ini, Aneesah masih lagi di bilik isolasi. Suhunya hanya turun apabila diberi ubat. Jadi, sejak hari malam Isnin lepas suhunya asyik naik sebaik sahaja kesan ubat habis. Kemungkinan disebabkan oleh infection di mulut.

Selasa, 4 Mac 2014

Demam

Malam semalam Aneesah demam. Teringat pesanan nurse, kalau Aneesah demam, cepat-cepat bawa ke hospital. Menurut beliau, ada ibu bapa yang berlengah sebab cuba mengelak ke hospital; pasal dah serik duduk di hospital. Kami pun rasa begitu. Tapi akibat berlengah itu boleh menyebabkan anak duduk di hospital hingga berminggu-minggu. Yang lebih parah, jika demamnya boleh mengakibatkan infection lain.

Jadi kami akur. Memandangkan itu cara yang terbaik, Aneesah kami bawa terus ke wad onkologi kanak-kanak. Insya-Allah, mungkin esok boleh pulang.

Ahad, 2 Mac 2014

Terapi Apabila Terasa Hebatnya Dugaan

Antara pesanan Nabi Muhammad sallallaahu 'alaihi wa sallam buat kita umatnya yang tercinta:

 ‏ انْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ أَسْفَلَ مِنْكُمْ وَلاَ تَنْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ فَوْقَكُمْ فَإِنَّهُ أَجْدَرُ أَنْ لاَ تَزْدَرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ ‏

 "Lihatlah orang di bawah kamu dan janganlah kamu melihat orang yang di atas kamu kerana dengan melihat ke bawah lebih cepat untuk (kamu) tidak meremehkan nikmat Allah ke atas kamu."

*Sumber hadith di atas telah dipetik daripada Sunnah.com. Anda boleh lihat sanadnya di sini.

Kadang kala kita terasa begitu hebat ujian yang Allah turunkan. Terlalu pahit hingga tidak tertahan air mata. Tetapi sebesar dan sehebat mana pun ujian itu, ada orang yang lebih hebat ujiannya.

Setelah berada di PPUKM selama sebulan, banyak pengalaman dan perkongsian ilmu telah kami dapat daripada ibu bapa pesakit di situ. Isteri saya yang bermalam di sana sudah pasti lebih terkesan dengan cabaran yang dihadapi oleh setiap pesakit kanser dan ibu bapa mereka. Masing-masing dengan ujian yang berbeda. Bahkan lebih hebat dan lagi pahit daripada apa yang kami sedang harungi bersama Aneesah.

Ada yang anaknya terpaksa dibuang tangan kanannya. Namun, subhaanallah, riak wajah anak dan ibunya tetap tenang. Walaupun ditawarkan oleh seorang YB untuk dipasang tangan robotik, beliau menolak. Alasannya senang sahaja, jika itu yang Allah tentukan, biarkanlah - begitulah lebih kurang maksudnya.

Ada pula yang anaknya sudah tidak sedar lagi dan dibantu oleh alat sokongan. Si ibu terus setia menunggu meskipun doktor menyatakan anaknya sudah tiada harapan.

Mendengar dan melihat semua ini, saya hanya mampu untuk berdoa agar mereka terus tabah.