Ahad, 2 Mac 2014

Terapi Apabila Terasa Hebatnya Dugaan

Antara pesanan Nabi Muhammad sallallaahu 'alaihi wa sallam buat kita umatnya yang tercinta:

 ‏ انْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ أَسْفَلَ مِنْكُمْ وَلاَ تَنْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ فَوْقَكُمْ فَإِنَّهُ أَجْدَرُ أَنْ لاَ تَزْدَرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ ‏

 "Lihatlah orang di bawah kamu dan janganlah kamu melihat orang yang di atas kamu kerana dengan melihat ke bawah lebih cepat untuk (kamu) tidak meremehkan nikmat Allah ke atas kamu."

*Sumber hadith di atas telah dipetik daripada Sunnah.com. Anda boleh lihat sanadnya di sini.

Kadang kala kita terasa begitu hebat ujian yang Allah turunkan. Terlalu pahit hingga tidak tertahan air mata. Tetapi sebesar dan sehebat mana pun ujian itu, ada orang yang lebih hebat ujiannya.

Setelah berada di PPUKM selama sebulan, banyak pengalaman dan perkongsian ilmu telah kami dapat daripada ibu bapa pesakit di situ. Isteri saya yang bermalam di sana sudah pasti lebih terkesan dengan cabaran yang dihadapi oleh setiap pesakit kanser dan ibu bapa mereka. Masing-masing dengan ujian yang berbeda. Bahkan lebih hebat dan lagi pahit daripada apa yang kami sedang harungi bersama Aneesah.

Ada yang anaknya terpaksa dibuang tangan kanannya. Namun, subhaanallah, riak wajah anak dan ibunya tetap tenang. Walaupun ditawarkan oleh seorang YB untuk dipasang tangan robotik, beliau menolak. Alasannya senang sahaja, jika itu yang Allah tentukan, biarkanlah - begitulah lebih kurang maksudnya.

Ada pula yang anaknya sudah tidak sedar lagi dan dibantu oleh alat sokongan. Si ibu terus setia menunggu meskipun doktor menyatakan anaknya sudah tiada harapan.

Mendengar dan melihat semua ini, saya hanya mampu untuk berdoa agar mereka terus tabah.