Rabu, 30 April 2014

Luangkan Waktu untuk Allah

Alhamdulillah segala pujian buatMu Ya Rabb atas nikmat kesihatan yang diberi pada kami sekeluarga terutamanya Aneesah. Hari Jumaat ini, Aneesah ada temu janji doktor untuk rawatan chemo untuk minggu yang ke-enam dalam fasa ketiga ini. Mudah-mudahan segalanya berjalan lancar dan Aneesah diberi kekuatan kesihatan agar tidak demam selepas menjalani rawatan.

Bercakap mengenai demam, setiap kali Ummi menemani Aneesah di hospital sepanjang tempoh rawatan demam untuk beberapa hari, Ummi sedar sebenarnya itu adalah peluang yang Allah beri untuk Ummi menambahkan lagi ibadah khusus pada Allah. Disebalik kedukaan dan kesulitan berada dihospital, tersingkap rahmat untuk hambaNya yang berfikir dan melihat hikmah yang tersembunyi melalui jendela mata hati.

Ketika berada di rumah, memnag tidak dinafikan ibadah solat, puasa dan bacaan Al-Quran seolah-olah terganggu dengan kesibukan melayani kerenah anak-anak sehingga menyebabkan solat menjadi tidak khusyuk dan rutin bacaan Al-Quran jarang sekali dapat dilakukan dek kesibukan mengurus rumahtangga. Ibadah puasa sunat pula selalu terbabas dek keletihan diri melakukan kerja-kerja dirumah.



Kasihnya Allah pada kita dengan memberi ruang dan peluang untuk menambahkan amalan selama berada di hospital dimana tiada sebarang gangguan anak-anak yang lain dan tiada pula gangguan kesibukan untuk mengurus rumah tetapi diberi masa yang cukup banyak andai digunakan sebaiknya untuk membaca Al-Quran, memahami ayat-ayatnya dan menambahkan solat-solat sunat..subhaanAllah..




Jumaat, 18 April 2014

Ya Allah Berilah KekuatanMu

Alhamdulillah segala puji buatMu ya Allah yang maha Penyayang lagi maha Pengasih. Alhamdulillah hari ini Aneesah sudah memasuki fasa Interim Maintenance 1 dan sedang menjalani 'Bone Marrow & IT MTX'. Alhamdulillah sehingga kini, Aneesah menunjukkan tindak balas yang baik terhadap rawatan chemo walaupun sudah tiga kali dimasukkan ke wad dek demam panas namun Alhamdulillah segala rawatan masih berjalan dengan lancar dan mengikut jadual yang ditetapkan.

Mengenangkan setiap kali perlu masuk ke wad apabila Aneesah demam, berat sungguh dihati. Andai ada pilihan lain untuk tidak ke wad, pasti Ummi memilih pilihan itu. Namun dengan hati yang redha, Ummi Abi pasrah membawa Aneesah ke hospital meninggalkan Sakeenah dan Sumayyah bersama nenek dan atuknya. Penat sudah seolah-olah sebati dalam hidup kami ketika perlu berulang - alik ke hospital setiap hari. Namun cabaran paling besar adalah untuk memujuk Aneesah agar rela untuk tinggal di wad selama beberapa hari sehingga demamnya benar-benar pulih.

Dikala diri terasa penat untuk melalui ujian ini..kadangkala diri terasa amat lemah dan goyah untuk bertahan..hati cepat-cepat beristighfar pada Allah dan berdoa agar diberikan kekuatan yang berterusan untuk lalui semua ini. Ya Allah sesungguhnya kami ini amat lemah, hanya padaMu kami mohon segala kekuatan hati dan kesenangan atas segala urusan kami..Aameen ya Rabb