Rabu, 30 April 2014

Luangkan Waktu untuk Allah

Alhamdulillah segala pujian buatMu Ya Rabb atas nikmat kesihatan yang diberi pada kami sekeluarga terutamanya Aneesah. Hari Jumaat ini, Aneesah ada temu janji doktor untuk rawatan chemo untuk minggu yang ke-enam dalam fasa ketiga ini. Mudah-mudahan segalanya berjalan lancar dan Aneesah diberi kekuatan kesihatan agar tidak demam selepas menjalani rawatan.

Bercakap mengenai demam, setiap kali Ummi menemani Aneesah di hospital sepanjang tempoh rawatan demam untuk beberapa hari, Ummi sedar sebenarnya itu adalah peluang yang Allah beri untuk Ummi menambahkan lagi ibadah khusus pada Allah. Disebalik kedukaan dan kesulitan berada dihospital, tersingkap rahmat untuk hambaNya yang berfikir dan melihat hikmah yang tersembunyi melalui jendela mata hati.

Ketika berada di rumah, memnag tidak dinafikan ibadah solat, puasa dan bacaan Al-Quran seolah-olah terganggu dengan kesibukan melayani kerenah anak-anak sehingga menyebabkan solat menjadi tidak khusyuk dan rutin bacaan Al-Quran jarang sekali dapat dilakukan dek kesibukan mengurus rumahtangga. Ibadah puasa sunat pula selalu terbabas dek keletihan diri melakukan kerja-kerja dirumah.



Kasihnya Allah pada kita dengan memberi ruang dan peluang untuk menambahkan amalan selama berada di hospital dimana tiada sebarang gangguan anak-anak yang lain dan tiada pula gangguan kesibukan untuk mengurus rumah tetapi diberi masa yang cukup banyak andai digunakan sebaiknya untuk membaca Al-Quran, memahami ayat-ayatnya dan menambahkan solat-solat sunat..subhaanAllah..