Jumaat, 16 Mei 2014

Sentiasa Bersangka Baik Pada Allah

Alhamdulillah hari ini Aneesah telah pergi ke HUKM untuk membuat pemeriksaan darah. Alhamdulillah semua bacaan adalah baik kecuali bacaan antibodinya menurun 0.7. Bermakna Aneesah perlu dijaga dengan lebih rapi dan dikuarantin daripada orang ramai kerana kemungkinan untuknya demam adalah tinggi.

Seperti biasa apabila pergi ke 'Day Care Ward', akan berkongsilah pengalaman dan mutiara-mutiara semangat daripada ibu bapa pesakit-pesakit kanser yang lain. Seorang pakcik telah berkongsi cerita mengenai anaknya yang juga pesakit Leukimia baru-baru ini telah dijangkiti Demam Denggi. Menurut doktor yang merawat anaknya di Kuantan, anaknya hanya tinggal 50-50 sahaja peluang untuk hidup. Doktor disana seolah-olah buntu tidak tahu lagi bagaimana ingin membantu merawat anaknya yang ketika itu dimasukkan ke ICU dek demam denggi.

"Tak apalah Doktor. Saya serah pada Allah sahaja, Dia maha Penyembuh dan saya yakin Dia akan sembuhkan anak saya", luah pakcik itu pada Doktor. Kata pakcik itu lagi, dia hampir-hampir putus asa untuk mengharap akan kesembuhan anaknya apabila doktor juga tidak tahu bagaimana lagi cara untuk merawat anaknya. Alhamdulillah berkat doa yang dipohon setiap hari, pakar daripada HUKM menelefon pakcik itu dan memintanya untuk dibawa anaknya datang ke HUKM untuk mendapat rawatan daripada pakar disini. Alhamdulillah Allah memberi kesembuhan setelah 7 hari doktor bertungkus lumus merawat anaknya.

"Rupa-rupanya dengan seekor nyamuk Allah uji tawakkal dan keyakinan pakcik pada Dia. Pakcik hampir putus asa dikala Allah menguji untuk melihat selama mana kita tetap yakin dan berharap pada Dia. Alhamdulillah rupanya dengan seekor nyamuk itu juga, anak pakcik yang sebelum ini memang tidak aktif dan asyik terlantar saja dirumah, kini setelah pulih daripada demam denggi, menjadi sangat aktif dan nampak sangat sihat berbanding dulu".

Ya Allah benar kadangkala kami berasa goyah dek kelemahan iman kami, namun Engkau yang Maha Penyayang ingin kami sentiasa dekat padaMu..Ya Allah tetapkanlah hati kami ini percaya dan yakin dengan kuasaMu bahawa Engkaulah sebaik-baik Penyembuh.