Isnin, 14 Julai 2014

Ujian itu Tanda Allah Sayang

Alhamdulillah 'ala kullihal..hari ni hari yang ke-6 Aneesah ditahan di wad dek demam sejak Rabu yang lalu. Alhamdulillah demam Aneesah sudah mula pulih dan doktor ingin menghabiskan antibiotic selama 7 hari jadi Aneesah hanya dibenarkan pulang pada hari Rabu inshaaAllah.

Bukan mudah sebenarnya untuk memujuk Aneesah tinggal berhari-hari dalam wad. Bukan mudah juga untuk memujuk Sakeenah untuk terus sabar menunggu dan menghitung hari demi hari menanti kepulangan Ummi dan Aneesah. Sabarlah Sakeenah ye..Allah sedang memerhatikan kita. Andai kita redha dan sabar, Allah akan sayang pada kita sekeluarga. Bukankah kasih sayang Allah itu lebih bernilai dari kasih seorang ibu pada anaknya..

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar" (Al-Baqarah:155)

"(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."(Al-Baqarah:156)

"Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya." (Al-Baqarah:157)

"Sesungguhnya orang-orang yang bersabar akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira" (Az Zumar :10)

Pujuklah sentiasa hati dengan ayat-ayat Allah. Hati ibu mana tidak sedih berpisah dengan anak-anak. Namun sabarlah dengan banyakkan solat dan membaca Al-Quran kerana itulah ubat hati bagi orang mukmin

Dicatat oleh: Ummu Aneesah

Sabtu, 12 Julai 2014

Tarbiah Ramadhan

14 Ramadhan

Aneesah masih ditahan di hukm kerana demam. Doktor telah pun menukar antibiotik yang lebih kuat untuk merawat demamnya. Alhamdulillah Aneesah mula menunjukkan respons positif terhadap antibiotic. Mudah-mudahan Aneesah cepat sembuh dan dapat kita pulang sama-sama berjumpa dengan Abi, Sakeenah dan Sumayyah.

Di saat ini kita dikejutkan dengan berita Gaza dibedil lagi dan kali ini bedilan yang dahsyat oleh tentera Zionis. Apa yang terbayang dibenak fikiran Ummi adalah bagaimana perasaan ibu-ibu disana yang melihat kesengsaraan anak-anak mereka dek peluru yang terkena pada tubuh anak-anak kecil. Bagaimana perasaan seorang ayah yang ditangkap oleh tentera Zionis menahan perasaan rindu pada isteri dan anak-anaknya..Bagaimana pula perasaan anak-anak kecil yang kehilangan ibu ayah tersayang yang terkorban dalam serangan itu?

Pernahkah kita peduli akan semua itu? Pernahkah kita cuba menjiwai perasaan dan penderitaan mereka? Hanya kerana kita sentiasa dapat bersama bergembira dengan keluarga kita membuatkan kita seolah-olah tidak endah dan peduli akan mereka.

Ya Allah sedangkan Ummi yang berpisah hanya beberapa hari sahaja berjauhan dengan Abi, Sakeenah dan Sumayyah kadang-kala tidak tertanggung rasa rindu, bertambah runtun hati ini apabila Sakeenah menelefon sambil menangis berkata "Sakeenah rindu Ummi"... Bagaimana pula mereka di Palestine??

Ya Allah betapa kerasnya hati ini andai diriku tidak rasa peduli pada mereka di Palestine. Betapa jauhnya diri ini daripada Taqwa andai diri masih tidak mampu berdoa setiap waktu untuk mereka di Palestine..Ya Allah betapa dunia menggenggam hati ini andai diri tidak mampu menghulurkan sumbangan buat mereka...

Dimanakah impak tarbiah Ramadhan buat diri ini andai di saat Gaza sedang dibaham oleh tentera Zionis, diri masih sibuk memuaskan nafsu makan dikala berbuka dengan pelbagai juadah sedangkan mereka di Palestine belum tentu ada makanan untuk berbuka..

Inilah tarbiah Ramadhan yang sepatutnya melahirkan rasa ingin membantu sesama saudara kita. Ramadhan bukan hanya melatih kita untuk berpuasa tetapi disebalik kewajipan berpuasa itu berkait rapat dengan bagaimana sensitiviti kita terhadap mereka yang lebih memerlukan? Bagaimana mungkin kita ingin mencapai TAQWA andai kita tidak peduli pada orang lain?

Bagaimana mungkin kita mencapai TAQWA andai kita sanggup berbelanja beratus ringgit untuk membeli baju raya, kuih raya dan segala macam persiapan Hari Raya namun hanya mampu menghulurkan RM10 pada tabung Palestine??

Marilah kita sama-sama muhasabah diri sementara diri masih berada dalam masrasah Ramadhan, kita mohon agar hati ini mampu terdidik dengan tarbiah yang Allah sedang beri dalam bulan Ramadhan ini.



Khamis, 10 Julai 2014

Ramadhan memberi semangat untuk terus bersabar

12 Ramadhan 1435 Hijrah -
10 Julai 2014 

Alhamdulillah dah 11 hari kita lalui Ramadhan..mudah-mudahan momentem kita untuk mencari redha dan keampunan Allah semakin bertambah. 

Pagi semalam (hari rabu 9 Julai), Aneesah ditahan ke wad sekali lagi kerana demam. Mungkin dirinya tidak lagi terdaya bertahan melalui rawatan kimo setiap hari tanpa henti sejak seminggu yang lalu hingga ke hari ini. 

Oleh kerana sudah agak lama Aneesah tidak bermalam di hospital, dirinya membisu seribu bahasa. Aneesah kelihatan lemah dan tidak bermaya. Makan tak lalu, hanya mampu membaringkan diri sahaja.

Namun disebalik ujian yang menjengah dibulan Ramadhan ini, Ummi percaya ada hikmah yang amat besar Allah ingin beri pada Ummi. Barangkali, inilah peluang untuk Ummi tadabbur Al-Quran dengan sebaiknya tanpa ada gangguan dari mana-mana. Alhamdulillah ya Allah kerana memberiku peluang ini untuk dekat padaMu..

Semoga Aneesah cepat sembuh dan boleh menghabiskan rawatan kimo yang berbaki lagi 3 hari untuk fasa ke - 4 ini inshaaAllah. 

Sakeenah dan Sumayyah, sabarlah menanti kepulangan Ummi dan Aneesah. InshaaAllah harapnya Aneesah dapat discaj pada hari Sabtu ini..Aameen.

Dicatat oleh: Ummu Aneesah