Sabtu, 12 Julai 2014

Tarbiah Ramadhan

14 Ramadhan

Aneesah masih ditahan di hukm kerana demam. Doktor telah pun menukar antibiotik yang lebih kuat untuk merawat demamnya. Alhamdulillah Aneesah mula menunjukkan respons positif terhadap antibiotic. Mudah-mudahan Aneesah cepat sembuh dan dapat kita pulang sama-sama berjumpa dengan Abi, Sakeenah dan Sumayyah.

Di saat ini kita dikejutkan dengan berita Gaza dibedil lagi dan kali ini bedilan yang dahsyat oleh tentera Zionis. Apa yang terbayang dibenak fikiran Ummi adalah bagaimana perasaan ibu-ibu disana yang melihat kesengsaraan anak-anak mereka dek peluru yang terkena pada tubuh anak-anak kecil. Bagaimana perasaan seorang ayah yang ditangkap oleh tentera Zionis menahan perasaan rindu pada isteri dan anak-anaknya..Bagaimana pula perasaan anak-anak kecil yang kehilangan ibu ayah tersayang yang terkorban dalam serangan itu?

Pernahkah kita peduli akan semua itu? Pernahkah kita cuba menjiwai perasaan dan penderitaan mereka? Hanya kerana kita sentiasa dapat bersama bergembira dengan keluarga kita membuatkan kita seolah-olah tidak endah dan peduli akan mereka.

Ya Allah sedangkan Ummi yang berpisah hanya beberapa hari sahaja berjauhan dengan Abi, Sakeenah dan Sumayyah kadang-kala tidak tertanggung rasa rindu, bertambah runtun hati ini apabila Sakeenah menelefon sambil menangis berkata "Sakeenah rindu Ummi"... Bagaimana pula mereka di Palestine??

Ya Allah betapa kerasnya hati ini andai diriku tidak rasa peduli pada mereka di Palestine. Betapa jauhnya diri ini daripada Taqwa andai diri masih tidak mampu berdoa setiap waktu untuk mereka di Palestine..Ya Allah betapa dunia menggenggam hati ini andai diri tidak mampu menghulurkan sumbangan buat mereka...

Dimanakah impak tarbiah Ramadhan buat diri ini andai di saat Gaza sedang dibaham oleh tentera Zionis, diri masih sibuk memuaskan nafsu makan dikala berbuka dengan pelbagai juadah sedangkan mereka di Palestine belum tentu ada makanan untuk berbuka..

Inilah tarbiah Ramadhan yang sepatutnya melahirkan rasa ingin membantu sesama saudara kita. Ramadhan bukan hanya melatih kita untuk berpuasa tetapi disebalik kewajipan berpuasa itu berkait rapat dengan bagaimana sensitiviti kita terhadap mereka yang lebih memerlukan? Bagaimana mungkin kita ingin mencapai TAQWA andai kita tidak peduli pada orang lain?

Bagaimana mungkin kita mencapai TAQWA andai kita sanggup berbelanja beratus ringgit untuk membeli baju raya, kuih raya dan segala macam persiapan Hari Raya namun hanya mampu menghulurkan RM10 pada tabung Palestine??

Marilah kita sama-sama muhasabah diri sementara diri masih berada dalam masrasah Ramadhan, kita mohon agar hati ini mampu terdidik dengan tarbiah yang Allah sedang beri dalam bulan Ramadhan ini.