Jumaat, 12 Disember 2014

Bekerja Dari Rumah

Alhamdulillah hamdan kathira..segala puji buatMu ya Rabb atas nikmat islam dan iman dan segala nikmat duniawi yang lain..sesungguhnya tiada nikmat yang lebih besar daripada nikmat mengenaliMu ya Rabb dan mengakui diri sebagai hambaMu

Alhamdulillah Ummi telah mula bertugas kembali dan Alhamdulillah pihak atasan telah membenarkan Ummi bekerja daripada rumah. Alhamdulillah benar sekali janji Allah disebalik setiap kejadian ada hikmah dan kebaikan yang tersimpan buat hambaNya.

Mengapa Ummi berkata demikian. Sebenarnya ketika Ummi menerima tawaran kerja ditempat yang baru dua tahun lepas, semua sahabat sekeliling menasihati supaya fikir masak-masak dek tawaran kontrak bekerja hanya untuk 6 bulan sahaja dan tiada jaminan akan diteruskan diberi peluang bekerja selepas tamat tempoh 6 bulan. Namun Ummi berpegang pada prinsip apa jua keputusan yang hendak diambil dalam hidup ini, selayaknya bermunajatlah pada Allah mohon petunjukNya agar keputusan itu adalah terbaik buat diri, keluarga dan lebih-lebih lagi untuk agama dan iman kita.

Jadi setelah Ummi beristikharah, Allah memberi rasa tenang dalam hati Ummi untuk menerima tawaran kerja tersebut. Alhamdulillah Allah sebaik-baik Perancang buat Hamba-HambaNya. Habis tempoh kontrak 6 bulan, Ummi ditawarkan sebagai pekerja tetap di syarikat tersebut dan apabila Aneesah disahkan leukimia pada awal tahun ini, sekali Allah menunjukkan perancanganNya yang maha hebat dengan membolehkan majikan membenarkan Ummi bekerja daripada rumah walaupun sebenarnya polisi ini tidak dipraktikkan dalam syarikat tersebut.

Benarlah janji Allah buat hambaNya yang bersabar dan redha ketika menerima sesuatu ujian, Allah pasti memberi jalan keluar buat mereka yang bertawakkal, dan berusaha untuk dekatkan diri padaNya.

Walaupun bukan mudah sebenarnya untuk melakukan tugasan ofis di rumah, apatah lagi ditambahi dengan jadual kimo Aneesah yang hampir setiap hari, antara bekejar ke hospital dan menyiapkan tugasan ofis saban hari kadangkala diri terasa lelah dan lemah, tanpa sedar air mata sentiasa mengiringi diri namun hakikatnya Allah ingin mendidik Ummi agar selalulah mohon kekuatan dan pertolongan dariNya dalam menyelesaikan apa jua tugasan yang diberi kerana sesungguhnya manusia tiada daya dan upaya melainkan dengan Qudrat dan IradatNya. Ucapan La Haula Wa La Quwwata Illa BillAhil 'Aliyyil 'Azim perlu dilazimi dibibir kerana zikir itu bukan ucapan biasa tetapi memberi kekuatan luar biasa buat hamba yang sangat lemah ini.

Rasulullah s.a.w pernah berpesan pada Saidatina Fatimah agar diamalkan doa untuk permudahkan segala urusan:
ياَ حَىُّ يَا قَيُّوم بِرَحْمَتِكَ اَسْتَغِيثُ
اَصْلِحْلِى شَاء نِي كُلَّهُ
 وَ لَا تَكِلْنِي اِلىَ نَفْسِي طَرْفَةَ عَينٍ
"Wahai Yang maha Hidup dan maha Berdiri,
   Dengan RahmatMu Ku Mohon Pertolongan,
   Perbaikilah segala urusanku
   Dan janganlah Engkau biarkanku sendiri
   Walau dalam sekelip mata pun."