Sabtu, 28 Februari 2015

Nak Berubah atau Mengubah, Hendaklah Bersabar dan Perlu Ada Usaha

Panje do'oh tajuk. Ada banyak perkara pada diri ini yang perlu diubah dan diperbaiki.

Kata Ustaz, nak berubah itu bukan mudah. Yang penting kena usaha. Kalau tak ada usaha, macam mana nak lakukan perubahan? Bak kata UAI, berat nanang!

Allahumma yassir wa laa tu'assir.

Hari ini, saya terima satu mesej Whatsapp, bagaimana sepatutnya perasaan serta tindak-tanduk kita apabila mendengar seruan 'Allahu-Akbar'? Nah, mari kita ketahui dan praktikkan:

Ahad, 22 Februari 2015

Buat Baik Dibalas Baik

Video berguna.


Rasulullah (sallallaahu a'laihi wa sallam) adalah contoh terbaik. Dalam menelusuri alam maya, saya terjumpa sepotong doa yang diriwayatkan telah dibaca oleh baginda selepas doa iftitah dan sebelum bacaan al-Faatihah:

أَنْتَ الْمَلِكُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ ‏.‏ أَنْتَ رَبِّي وَأَنَا عَبْدُكَ ظَلَمْتُ نَفْسِي وَاعْتَرَفْتُ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي ذُنُوبِي جَمِيعًا إِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ وَاهْدِنِي لأَحْسَنِ الأَخْلاَقِ لاَ يَهْدِي لأَحْسَنِهَا إِلاَّ أَنْتَ وَاصْرِفْ عَنِّي سَيِّئَهَا لاَ يَصْرِفُ عَنِّي سَيِّئَهَا إِلاَّ أَنْتَ لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ وَالْخَيْرُ كُلُّهُ فِي يَدَيْكَ وَالشَّرُّ لَيْسَ إِلَيْكَ أَنَا بِكَ وَإِلَيْكَ تَبَارَكْتَ وَتَعَالَيْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ

O Allah, You are the Sovereign and there is none worthy of worship but You. I am Your slave, I have wronged myself and I acknowledge my sin. Forgive me all my sins for no one forgives sins but You. Guide me to the best of manners for none can guide to the best of them but You. Protect me from bad manners for none can protect against them but You. I am at Your service, all goodness is in Your hands, and evil is not attributed to You. I rely on You and turn to You, blessed and exalted are You, I seek Your forgiveness and repent to You.

Sumber: Sunan An-Nasa'i, Buku 11, Hadith 22

Sabtu, 21 Februari 2015

Dalam Diam, Dia Terasa


Saya suka istilahkan keadaan kami yang terpaksa berubah tentatif dan keutamaan disebabkan kecemasan sebagai 'code red'. Jika dilihat kepada maknanya, memang ada persamaan. Apabila sudah cukup tandanya, kami sudah tahu tindakan lanjut yang diperlukan. Code red, hati bergetus. Maka mulalah sang isteri menyimpan baju ke dalam beg. Saya pula sibuk menyimpan laptop dan lain-lain keperluan untuk bermalam di rumah ibu bapa. Anak-anak (biasanya Sakeenah) pula akan di-preempt untuk bersedia dengan perubahan jadual.

Saya dapat rasakan dalam setahun lebih kami mengharungi hidup begini, ramai insan yang telah berkorban untuk kami. Sama ada dari segi wang, tenaga, dan masa, semuanya kami hargai. Bersyukur kami kepada Allah kerana dikurniakan ahli keluarga yang saling memahami dan bantu-membantu. Saya menyusun jari memohon maaf kepada insan-insan yang mulia ini, andai bantuan yang dihulurkan telah menyebabkan mereka menjadi mangsa keadaan.

Mangsa keadaan? Macam mana tu?

Ibu bapa yang berkorban, Ummi, Ayah, Ma, dan Wae. Pada malam tertentu, saya pulang lewat kerana singgah ke hospital. Kadang-kadang kerana pulang dari kelas. Tapi sebaik saja pulang ke rumah, Ummi dan Ayah sedang tidur di bilik kerana menemani Sakeenah dan Sumayyah. Kadang-kadang Ummi letih sangat, ayah ambil alih dodoi Sumayyah di buai. Gamaknya buat mak ayah macam ini!

Antara insan lain yang saya rasa turut berkorban adalah anak sulung kami, Sakeenah. Saya sangka kanak-kanak sepertinya tidak ada apa-apa kepentingan; hidup riang sepanjang masa. Rupanya salah! Pada suatu malam, beliau sedang asyik bermain. Tiba-tiba, beliau terhenti dan melihat di suatu sudut. Lama termenung. Saya menunggu gerak geri seterusnya. Namun tak juga berubah kedudukan bahkan terus termenung. Lama juga. Saya hilang sabar dan terus merapat lalu cuba mendapat pandangan sisi. Menangiskah? Tak. Tapi pelik, dia hanya merenung.

"Sakeenah tengok apa?"

Dia tak jawab dan terus merenung. Bila dikorek lagi rahsia, rupanya kerinduan pada Ummi dan Aneesah sudah mencengkam dalam sanubari. Bergenang matanya. Ini bukan pertama kali beliau luahkan tetapi sudah acap kali.

Baru ini, sebaik kami isytiharkan code red, beliau tiba-tiba teresak:

"Masa birthday Sakeenah, Ummi dengan Aneesah tak ada..."

Ini baru Sakeenah. Anak hingusan yang saya sangka tak mengerti apa-apa. Entah siapa lagi yang menyimpan rasa. Boleh jadi, anda yang sedang membaca!

Kami mohon maaf, maaf, dan maaf. Hanya Allah yang mampu balas jasa kalian.

Ummi...Ummi

Hari ini hari ketiga Ummi berkampung di hospital bersama Aneesah. Alhamdulillah Aneesah mula menunjukkan tindak balas yang positif terhadap ubat antibiotik yang diberi sejak 3 hari yang lalu. Andai keputusan darah Aneesah esok semua normal, inshaAllah Aneesah dibenarkan pulang.

Sejak Ummi menemani Aneesah di hospital, setiap malam, kata Abi,, Sumayyah akan memanggil Ummi..Ummi...Sumayyah memanggil Ummi dan mencari-cari kelibat Ummi. Kasihan Sumayyah, terpaksa Ummi tinggalkan bersama Abi walaupun dirinya sedang mengalami chicken pox, namun Ummi tiada pilihan.

Aneesah terpaksa menjadi keutamaan untuk Ummi menjaganya kerana Aneesah tidak mahu Abi menemaninya di hospital. Berat hati ini namun terpaksa dipendam rasa sedih dalam diri demi untuk memberi semangat pada Aneesah agar cepat sembuh dan dapat segera pulang ke rumah dan ubati rindu Sumayyah dan Sakeenah pada Ummi.

Ya Allah, betapa besarnya anugerah kasih sayang yang Engkau berikan pada kami. Kerana kasih sayang, terbit rasa rindu. Kerana kasih sayang, mengundang rasa hiba dan sedih apabila berpisah. Kerana kasih sayang juga, hati-hati insan terikat walau berada berjauhan tetapi terasa amat dekat di hati.

Ya Allah tabahkanlah hati-hati kami untuk melalui ujianMu ini agar kelak kami mampu meraih redhaMu..HasbunAllah wa ni'mal wakil, fa ni'mal maula wa ni'man nasir (Cukuplah Allah itu sebagai sandaran dan sebaik-baik Penolong bagi orang-orang Mukmin)

Jumaat, 20 Februari 2015

Sabarlah Wahai Hati-Hati Yang Sedang Diuji

Tengahari tadi, pesakit leukimia (Adik Qayyum) yang duduk dihadapan bilik Aneesah telah muntah-muntah dan mengalamai pendarahan dek denggi berdarah. Dengan segera adik Qayyum dipindahkan ke wad PHDU kerana kondisinya yang semakin teruk. Selama didalam wad, kakaknya mengambil tugas untuk menjaganya kerana Ibu mereka baru sahaja selamat melahirkan adik mereka pada 3 hari yang lalu. Ibunya menggagahkan jua diri untuk datang melihat kondisi anaknya dan kedengaran tangisan sayu seorang ibu mengenangkan nasib anaknya itu. Ingin sekali Ummi memberi kata-kata semangat pada si ibu Qayyum namun entah mengapa lidah serba kelu dan hanya mampu berdoa dalam hati agar dirinya dan ahli keluarga yang lain terus sabar dan tabah menerima ujian  ini. Moga adik Qayyum terus bertahan dan diberi kesembuhan seperti sediakala..Aameen ya Rabb.

Jam menunjukkan pukul 4.30pm. Aneesah meminta untuk minum air jus lobak. Kebetulan Abi datang untuk ziarah Aneesah, Ummi mengambil kesempatan untuk turun ke kafe ditingkat bawah untuk membeli air yang dipesan oleh Aneesah. Sebaik saja keluar dari bilik Isolasi, kelihatan staff nurse dan doktor meluru dengan laju menolak seorang pesakit kanser saraf (Adik Naufal) ke wad ICU. Dikhabarkan bahawa adik ini mengalami sesak nafas secara tiba-tiba dan kondisinya amat kritikal. Kelihatan ibunya menangis teresak-esak sambil mengiringi anaknya ke wad ICU. Ya Allah Engkau selamatkanlah adik Naufal dan berilah ketabahan dan kesabaran buat ibu ayahnya dan seluruh ahli keluarganya..Aameen Ya Rabb

Hati Ummi sekali lagi dirundung hiba. Ya Allah beratnya ujianMu buat mereka. Sabarlah wahai hati-hati yang diuji. Sesungguhnya Allah amat sayang pada kalian kerana itu kalian diuji sebegini hebat. Teruskan berdoa dan bersangka baik pada Allah atas ujian yang diberi kerana yakinlah Allah tidak pernah ingin membebani hamba-hambaNya dengan mehnah duniawi. Tetapi yang Allah mahu adalah agar kalian lebih dekat padaNya dan beroleh redha-Nya sebagai tiket untuk kalian masuk ke dalam syurga-Nya nanti.

"Ya Allah tetapkanlah redha dalam hati kami walau berat mana Engkau uji kami dan janganlah Engkau cabut redhaMu terhadap kami. Jadikanlah ujian itu sebagai jalan untuk kami peroleh Rahmat Kasih Sayang dan InayahMu..Ampunkanlah segala dosa-dosa kami dan terimalah taubat kami sesungguhnya Engkaulah yang Maha Menerima taubat hamba-hambaMu..Aameen Ya Rabb"


Kembali ke Wad & Pesanan MAS Sempena Tahun Baru Cina

Bersiaran lagi kami dari wad 4D. Harapnya kali ini Aneesah sembuh dengan kadar yang segera. Suhunya meningkat hingga 40 darjah celcius malam semalam. Alhamdulillah, semuanya stabil sekarang. Insya-Allah, dalam beberapa hari lagi bolehlah balik.

Punca demam tidak dapat dikenal pasti. Pada mulanya, kami sangka Aneesah terkena demam campak seperti adiknya. Namun, kami diberitahu demam campak tak mungkin menyebabkan suhu meningkat hingga tahap melampau. Wallahu a'lam. Mudah-mudahan Aneesah cepat sembuhnya.

Sempena cuti tahun baru Cina ini, tidak ke manalah kami. Hanya bunyi beep mesin ubat, TV Astro, laptop, dan smartphone yang memecah kesunyian sekitar wad ini. Sekali-sekali terdengar isteri sedang rancak bersembang dengan kawannya di bilik sebelah. Beginilah hidup di wad.

Ketika mencari sesuatu di YouTube, iklan Malaysia Airlines System (MAS) terpampang. Kebiasaannya, saya memilih untuk skip tapi kali ini saya memilih untuk mendengar. Saya tertarik dengan kata-kata terakhir di hujung filem tersebut:
Everyone of us, chasing wealth and ambition, forget the blessings we have around us. The blessings that people give to us, and the blessings that we give to others. In essence, the blessing that life in itself is. If we focus on being a blessing, we are always blessed in abundance. 
Setiap daripada kita yang cuba mengejar kekayaan dan cita-cita, sering alpa dengan rahmat yang terdapat di sekeliling kita, dan juga rahmat (nikmat) yang kita beri kepada orang lain. Pendek kata, rahmat yang terkandung dalam kehidupan. Jika kita tumpukan perhatian dalam menjadikan diri sebagai rahmat, kita akan sentiasa dilimpahi rahmat.


Semoga menjadi peringatan buat diri terutama kita yang selalu sibuk dengan kerja.

Ahad, 15 Februari 2015

Mengubati 118 Jenis Kanser dengan Ayat-ayat Al-Qur'an

Hari ini, kami berkongsi sebuah dokumen yang diberi ketika Aneesah berada di wad. Dokumen ini mengandungi beberapa ayat daripada Al-Qur'an untuk dijadikan ikhtiar bagi mereka yang masih mencari jalan untuk meneymbuh penyakit jenis kanser seperti kanser darah (leukemia), kanser buah dada, kanser rahim, kanser perut besar, dan sebagainya.

Sumber asal dokumen ini tidak kami ketahui tetapi telah diamalkan oleh Ma (ibu kepada isteri) yang pernah menghidap kanser dalam hidung kira-kira sepuluh tahun yang lalu. Alhamdulillah, kini beliau sembuh sepenuhnya dan menjalani hidup seperti biasa.

Kami telah scan dokumen tersebut dan membuat versi ebook. Tuan/Puan boleh muat turun dokumen tersebut untuk kegunaan peribadi. Semoga penulis asalnya beroleh pahala berlipat ganda.

Pengubatan Kanser Secara Al-Qur'an

Saiz: 4.87 MB | Format: PDF

Diharap dokumen ini dapat dijadikan rujukan buat mereka yang masih tercari-cari ikhtiar untuk menyembuh penyakit yang dihadapi. Insya-Allah, dengan usaha dan tawakkal, akan disembuhkan jua pemyakit tuan/puan.

Kalau Boleh, Masaklah di Rumah

Semalam saya berkesempatan untuk menghadiri sebuah walimah. Di sebuah meja, telinga saya sempat merakam perihal seorang guru yang telah meninggal akibat cancer. Dalam perbualan tersebut, ada disebut faktor kekerapan makan di luar mungkin salah satu punca penyakit itu menular.

Ada benarnya. Inilah hidup gaya moden. Kos saraan yang kian meningkat sudah memaksa isteri turut memikul beban mencari nafkah untuk keluarga. Apabila pulang saja dari kerja, kita ada dua pilihan, sama ada terus gagah memasak walaupun masa sudah lewat/suntuk, atau ke kedai saja. Saya akui, kebiasaannya saya memilih opsyen kedua dan hampir tiap hari asyik memikir macam mana nak ubah gaya hidup macam ini.

Maka saya membuat carian dengan pakcik Google dan beliau mengesyorkan beberapa laman untuk diziarahi. Tajuk yang menarik perhatian saya adalah 'Tips memasak cepat untuk wanita super-sibuk' oleh Adlil Jariah. Tak kiralah siapa yang super-sibuk, baik lelaki mahupun perempuan. Yang pasti dua-dua boleh ambil manfaat daripada tips yang dikongsi.

Video memasak ayam halia. Ada siapa-siapa mahu cuba?

Sabtu, 14 Februari 2015

Perginya Seorang Murabbi, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Al-Fatihah.

Ya Allah, berkatilah dan terimalah amalan ayahanda kami. Suntikkanlah semangat dan mujahadah pada diri kami seperti mana Engkau telah kurniakannya kepada ayahanda kami. Bahkan pertingkatkanlah lagi bagi kami. Mudah-mudahan kami dapat meneruskan perjuangan ayahanda kami walau apa jua keadaan.

Ya Allah, sungguh, kami menjadi saksi kepada kemuliaan yang telah Engkau kurniakan kepada ayahanda. Ya Allah, cucurilah rahmat-Mu dan kasih-Mu ke atas ayahanda dan golongkanlah ia di kalangan mereka yang muqarrab dengan-Mu. Amin.

Rabu, 11 Februari 2015

Menyembuh Penyakit Barah dengan Rawatan Herba

Sewaktu Aneesah masih menerima rawatan intensif, rambutnya gugur hingga ramai yang menganggapnya seperti kanak-kanak lelaki.

Suatu ketika sambil membawa anak-anak ke pasar, saya terserempak dengan seorang sahabat lama lalu menegurnya. Beliau melihat kelibat anak-anak dalam kereta dan bertanya: "Seorang saja lelaki (merujuk kepada Aneesah)?" - lebih kurang begitulah katanya.

"Eh, tak, semua perempuan," saya jawab. Saya cerita padanya tentang penyakit Aneesah. Lepas itu, beliau syorkan kepada saya untuk membawa Aneesah ke Klinik An-Nabaat yang diusahakan oleh seorang akademik Universiti Putra Malaysia, Dr. Nurmawati Syakroni namanya. Masa itu Aneesah masih dalam rawatan dan doktor tak benarkan bagi apa-apa kecuali setelah mendapat nasihat daripada doktor itu sendiri. Jadi, tak terlintas di hati saya untuk membawa Aneesah ke sana kerana keadaannya pun sudah makin stabil.

Daripada pelbagai sumber video, banyak testimoni yang diperoleh mengenai keberkesanan herba An-Nabaat yang diperkenalkan oleh Dr. Nurma. Sahabat saya yang mengesyorkannya tadi pun ada pengalaman tersendiri setelah salah seorang ahli keluarganya mengalami penyakit cyst yang kemudiannya dirawat dengan mengambil herba An-Nabaat. Alhamdulillah, daripada apa yang dikhabarkan, keadaannya kini sudah pulih.

Kepada sesiapa yang masih mencari rawatan untuk apa jua jenis penyakit, boleh diikhtiarkan untuk ke sana. Tempatnya adalah di Bandar Baru Bangi:

RAWATAN HERBA AN-NABAAT
No.9 Jalan 6A/3 (Seksyen 16)
Bandar Baru Bangi
43650 Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA


Video di bawah adalah antara yang terpapar dalam laman sesawang mereka: klik di sini untuk melawat blog mereka.


Semoga Allah menemukan kepada tuan-tuan/puan-puan ubat yang mujarab bagi penyakit yang sedang dihadapi.

Sabtu, 7 Februari 2015

Dunia dan Segala Isinya Lebih Hina daripada Bangkai Kambing

Saban hari kita bekerja siang dan malam untuk mengejar dunia dan jarang sekali memikirkan hal-ehwal akhirat. Tazkirah sebentar tadi mengingatkan kami semua berkenaan kedudukan ilmu. Kita sedia maklum bahawa ilmu itu wajib dipelajari. Namun, barangkali kita lebih mementingkan ilmu yang bermanfaat untuk dunia sahaja tanpa memikirkan manfaatnya untuk akhirat.

Ada ibu bapa akan berpesan kepada anak-anak agar belajar tinggi-tinggi. Untuk apa? Macam-macamlah sebabnya. Kebiasaan yang akan kita dengar adalah untuk mendapat kerja yang gajinya tinggi-tinggi juga. Di universiti, kita belajar macam-macam. Mekanisme itulah, mekanisme inilah, teori itulah, teori inilah, falsafah itulah, falsafah inilah, dan macam-macam lagi. Tapi, kalau hanya bermatlamat untuk dunia sahaja, dunia sahajalah titik noktahnya. Sedangkan Al-Qur'an mengajak kita untuk ber'akhirat' sambil bekerja di dunia.

Pesan Nabi (sallallaahu a'alaihi wa sallam) dalam kisah di bawah hendaklah membentuk pegangan kita yang sebetulnya berkenaan kehidupan di dunia.

Kisah ini diriwayatkan oleh Jabir ibn 'Abdullah Al-Ansari, salah seorang sahabat yang terkemuka pada zaman Rasulullah (sallallaahu 'alaihi wa sallam). Hadith ini terdapat dalam Sahih Muslim (rujukan: 2957 a) seperti berikut:

Suatu hari Rasulullah (sallallahu 'alaihi wasallam) mendatangi pasar bersama para sahabat dan melewati bangkai anak kambing yang telinganya kecil, buta dan tuli. Rasulullah menarik telinganya, seraya berkata: "Siapa antara kalian yang ingin membeli ini dengan harga satu dirham?"

Sahabat menjawab: "Kami tidak menginginkannya sedikitpun, apa gunanya untuk kami?"

Rasulullah bertanya lagi: "Maukah kalian diberi percuma?"

Sahabat menjawab: "Demi Allah, kalau pun kambing itu hidup pastilah tidak ada yang mahu kerana cacat. Apalagi sekarang yang sudah jadi bangkai?"

Kemudian Rasulullah bersabda: "Demi Allah, dunia ini lebih hina di sisi Allah dibandingkan bangkai ini di mata kalian."

Sumber: Sunnah.com (riwayat Sahih Muslim, rujukan 2957 a).

Semoga Allah mengkayakan kita semua dengan kelapangan masa untuk menambah ilmu lalu mendekatkan diri kepada-Nya.

Jumaat, 6 Februari 2015

Menghadapi Fitnah Akhir Zaman

Nabi Muhammad (sallalaahu 'alaihi wa sallam) telah memberitahu kita bahawa barang siapa menghafal sepuluh ayat terawal daripada Surah al-Kahf, maka ia terpelihara daripada fitnah Dajjal. Dalam riwayat lain ada menyebutkan sepuluh ayat terakhir daripada Surah al-Kahf. Maka, untuk memperoleh manfaat daripada kedua-duanya, hendaklah kita membaca serta menghafal sepuluh yang terakhir dan terawal daripada Surah al-Kahf.

Fitnah Dajjal itu begitu dasyat hingga mampu mengumpan manusia ke arah kesesatan (na'uzubillah min dzaalik). Oleh itu disarankan juga dalam amalan kita seharian untuk membaca doa berikut sebaik selesai tasyahud terakhir tetapi sebelum memberi salam dalam solat:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ

Maknanya: "Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada azab kubur, dan aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah Al-Masih Ad-Dajjal, dan aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah kehidupan dan kematian. Ya Allah, sesunggunhya aku berlindung dengan -Mu daripada dosa dan hutang."

Ikuti majlis di bawah. Semoga bermanfaat untuk mempersiapkan diri dan keluarga daripada fitnah terbesar yang kian hampir waktunya:


Khamis, 5 Februari 2015

Berselisih Pandangan atau Pendapat

Dalam kehidupan kita seharian, pasti akan berlaku perselisihan pendapat sama ada antara kita dengan adik beradik, sahabat karib, rakan sekerja, ibu bapa, dan lain-lain daripadanya. Perselisihan ini tidak dapat dielakkan kerana masing-masing memiliki pengalaman serta pengetahuan yang berbeda. Namun, Islam mengajar agar kita menghormati pandangan orang lain dengan mencari titik persamaan. Bukan mendabik dada dengan menyatakan kitalah yang paling benar dan orang lain adalah salah.

Dalam memahami nas Al-Qur'an dan hadith pula, ada juga berlaku perselisihan pendapat. Salah satu peristiwa yang membuktikan perselisihan ini adalah seperti yang diceritakan oleh Al-Ustaz dalam petikan video di bawah.


Sama-sama kita berubah untuk kebaikan semua. 

Selasa, 3 Februari 2015

Pintalah Orang Lain untuk Mendoakan Kita

Apabila berjumpa dengan saudara-saudara kita yang se-Islam, pohonlah doanya untuk kita. Walau selekeh mana pun rupanya, walau seteruk mana pun pandangan kita terhadapnya, kita tidak tahu - mungkin atas sebab-sebab tertentu, doanya makbul di sisi Allah.

Bahkan kita juga dipupuk untuk mendoakan orang lain. Kebaikan serta manfaat amalan ini nyata dalam hadith Nabi (sallallaahu 'alaihi wa sallam):
حَدَّثَنَا رَجَاءُ بْنُ الْمُرَجَّى، حَدَّثَنَا النَّضْرُ بْنُ شُمَيْلٍ، أَخْبَرَنَا مُوسَى بْنُ ثَرْوَانَ، حَدَّثَنِي طَلْحَةُ بْنُ عُبَيْدِ اللَّهِ بْنِ كَرِيزٍ، حَدَّثَتْنِي أُمُّ الدَّرْدَاءِ، قَالَتْ حَدَّثَنِي سَيِّدِي أَبُو الدَّرْدَاءِ، أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ: ‏
‏ إِذَا دَعَا الرَّجُلُ لأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ قَالَتِ الْمَلاَئِكَةُ آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ
Daripada Abu Darda’ (radhiyallahu 'anh) bahawa dia mendengar Nabi Muhammad (sallallaahu 'alaihi wa sallam) bersabda yang maksudnya: 
Tidaklah berdoa seorang muslim terhadap saudaranya secara ghaib (tanpa diketahui oleh saudaranya itu) melainkan akan berkatalah para malaikat, engkau juga beroleh yang seumpama dengannya.” 
(Sunan Abu Dawud / Book-8 / Hadith-119, bersumber daripada Sunnah.com)
Maka janganlah disisih sesiapa pun antara kita. Dampingi dan pupuklah nilai kasih sayang sesama saudara se-aqidah. Wallahu a'lam

Isnin, 2 Februari 2015

Beramal Janganlah Sampai Diheret ke Neraka

Ya Allah, kasihilah hamba-hamba-Mu yang soleh dan solehah.

Kebelakangan ini, saya suka mendengar tazkirah Ustaz Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid. Mari kita nilai sejauh mana keikhlasan amalan kita untuk-Nya. Ya Allah, terimalah amalan kami dan jangan Engkau campakkannya semula ke muka kami.


 

Ahad, 1 Februari 2015

Rawatan Kemoterapi atau Alternatif

Antara perkara yang pernah berlegar di fikiran adalah jenis rawatan yang hendak dilakukan sebaik sahaja tahu keadaan Aneesah - sama ada mengikut saranan doktor (kemoterapi) atau alternatif. Dalam keadaan Aneesah yang sudah meraung sakit hingga terpaksa diberi beberapa dos pain killer, sudah tentu kami rasakan di hospital-lah yang terbaik.

Saatnya sudah genting. Maka kami setuju dengan rawatan kemoterapi. Hasilnya, Aneesah mula beransur pulih dan kini kembali ceria seperti kanak-kanak lain, alhamdulillah.

Terlintas di hati saya untuk menerbitkan entri ini kerana saya fikir mungkin ramai di sana yang senasib kami dahulu. Tak tahu yang mana satu mereka patut pilih: kemoterapi atau alternatif? Di sini, saya tidak memberi jawapan tetapi hanya memberi apa yang pernah kami saksikan dan alami sendiri.

Di Pusat Perubatan UKM (atau HUKM, atau Hospital Canselor Tuanku Muhriz), wad 4D adalah wad khas untuk kanak-kanak yang sedang menjalani rawatan bagi penyakit jenis cancer. Di situ, kami menemui ramai lagi insan yang senasib. Jika tidak pun, mereka yang lebih teruk keadaannya berbanding Aneesah.

Rata-rata mereka yang dimasukkan ke wad ini bersetuju untuk menjalani rawatan yang ditetapkan doktor. Namun, ada juga yang memilih untuk berubat secara alternatif setelah mengetahui diagnose untuk anak mereka. Jika bukan kerana keadaan mendesak, mungkin kami juga akan memilih jalan yang sama. Namun, Allah sahaja yang tahu mengapa hati rasa lebih berat untuk meneruskan sahaja rawatan di hospital meskipun diketemu pelbagai tohmahan berkenaan rawatan kemo yang kononnya berada di bawah monopoli pihak tertentu. Entah benar atau tidak. Bahkan ditambah pula dengan anasir-anasir tertentu untuk tidak menggalakkan pesakit mengambil kemo sebagai rawatan.

Yang pasti, kami memang inginkan yang terbaik buat Aneesah. Ya, kami tak nafi. Kemoterapi memang ada kesan sampingan. Rambut Aneesah berguguran. Emosinya pula kurang stabil. Marah tak tentu fasal. Namun, perubahan yang bakal berlaku itu telah dimaklumkan oleh doktor. Saya ingat lagi pesanan awal doctor; rawatan yang bakal kami jalani untuk Aneesah bukan datang daripada pihak doktor sahaja bahkan turut melibatkan kami sebagai ibu bapa. Makan, dan minumnya harus diambil perhatian. Kalau demam, terus bawa ke hospital tanpa berlengah.

Hari ini setelah setahun berlalu, pipi Aneesah sudah kemerah-merahan dan tidak pucat seperti dulu.

Saya cuma ingin nyatakan di sini secara ringkas, ketika Aneesah masih menerima rawatan intensif, dua kes meninggal dunia telah berlaku. Kedua-duanya telah menjalani rawatan di luar dahulu sebelum kembali untuk membuat rawatan kemoterapi. Namun, takdir Allah telah menyebabkan kedua-duanya dijemput lebih awal dan asbab yang menjadi punca kematian mereka adalah keadaan penyakit yang sudah kritikal dan makin teruk.

Bagi ibu bapa atau sesiapa jua yang masih dalam kebuntuan, saya sarankan kalian untuk berbincang dengan doktor. Mereka sudah berpengalaman, maka selayaknya mereka dijadikan rujukan berbanding Internet yang entah dari mana datang sumbernya. Paling tidak pun, berjumpalah dengan mereka yang telah berjaya menjalani kemoterapi sehingga sembuh. Insya-Allah, moga tuan/puan diberi petunjuk untuk memilih yang terbaik.