Sabtu, 21 Februari 2015

Dalam Diam, Dia Terasa


Saya suka istilahkan keadaan kami yang terpaksa berubah tentatif dan keutamaan disebabkan kecemasan sebagai 'code red'. Jika dilihat kepada maknanya, memang ada persamaan. Apabila sudah cukup tandanya, kami sudah tahu tindakan lanjut yang diperlukan. Code red, hati bergetus. Maka mulalah sang isteri menyimpan baju ke dalam beg. Saya pula sibuk menyimpan laptop dan lain-lain keperluan untuk bermalam di rumah ibu bapa. Anak-anak (biasanya Sakeenah) pula akan di-preempt untuk bersedia dengan perubahan jadual.

Saya dapat rasakan dalam setahun lebih kami mengharungi hidup begini, ramai insan yang telah berkorban untuk kami. Sama ada dari segi wang, tenaga, dan masa, semuanya kami hargai. Bersyukur kami kepada Allah kerana dikurniakan ahli keluarga yang saling memahami dan bantu-membantu. Saya menyusun jari memohon maaf kepada insan-insan yang mulia ini, andai bantuan yang dihulurkan telah menyebabkan mereka menjadi mangsa keadaan.

Mangsa keadaan? Macam mana tu?

Ibu bapa yang berkorban, Ummi, Ayah, Ma, dan Wae. Pada malam tertentu, saya pulang lewat kerana singgah ke hospital. Kadang-kadang kerana pulang dari kelas. Tapi sebaik saja pulang ke rumah, Ummi dan Ayah sedang tidur di bilik kerana menemani Sakeenah dan Sumayyah. Kadang-kadang Ummi letih sangat, ayah ambil alih dodoi Sumayyah di buai. Gamaknya buat mak ayah macam ini!

Antara insan lain yang saya rasa turut berkorban adalah anak sulung kami, Sakeenah. Saya sangka kanak-kanak sepertinya tidak ada apa-apa kepentingan; hidup riang sepanjang masa. Rupanya salah! Pada suatu malam, beliau sedang asyik bermain. Tiba-tiba, beliau terhenti dan melihat di suatu sudut. Lama termenung. Saya menunggu gerak geri seterusnya. Namun tak juga berubah kedudukan bahkan terus termenung. Lama juga. Saya hilang sabar dan terus merapat lalu cuba mendapat pandangan sisi. Menangiskah? Tak. Tapi pelik, dia hanya merenung.

"Sakeenah tengok apa?"

Dia tak jawab dan terus merenung. Bila dikorek lagi rahsia, rupanya kerinduan pada Ummi dan Aneesah sudah mencengkam dalam sanubari. Bergenang matanya. Ini bukan pertama kali beliau luahkan tetapi sudah acap kali.

Baru ini, sebaik kami isytiharkan code red, beliau tiba-tiba teresak:

"Masa birthday Sakeenah, Ummi dengan Aneesah tak ada..."

Ini baru Sakeenah. Anak hingusan yang saya sangka tak mengerti apa-apa. Entah siapa lagi yang menyimpan rasa. Boleh jadi, anda yang sedang membaca!

Kami mohon maaf, maaf, dan maaf. Hanya Allah yang mampu balas jasa kalian.