Ahad, 1 Februari 2015

Rawatan Kemoterapi atau Alternatif

Antara perkara yang pernah berlegar di fikiran adalah jenis rawatan yang hendak dilakukan sebaik sahaja tahu keadaan Aneesah - sama ada mengikut saranan doktor (kemoterapi) atau alternatif. Dalam keadaan Aneesah yang sudah meraung sakit hingga terpaksa diberi beberapa dos pain killer, sudah tentu kami rasakan di hospital-lah yang terbaik.

Saatnya sudah genting. Maka kami setuju dengan rawatan kemoterapi. Hasilnya, Aneesah mula beransur pulih dan kini kembali ceria seperti kanak-kanak lain, alhamdulillah.

Terlintas di hati saya untuk menerbitkan entri ini kerana saya fikir mungkin ramai di sana yang senasib kami dahulu. Tak tahu yang mana satu mereka patut pilih: kemoterapi atau alternatif? Di sini, saya tidak memberi jawapan tetapi hanya memberi apa yang pernah kami saksikan dan alami sendiri.

Di Pusat Perubatan UKM (atau HUKM, atau Hospital Canselor Tuanku Muhriz), wad 4D adalah wad khas untuk kanak-kanak yang sedang menjalani rawatan bagi penyakit jenis cancer. Di situ, kami menemui ramai lagi insan yang senasib. Jika tidak pun, mereka yang lebih teruk keadaannya berbanding Aneesah.

Rata-rata mereka yang dimasukkan ke wad ini bersetuju untuk menjalani rawatan yang ditetapkan doktor. Namun, ada juga yang memilih untuk berubat secara alternatif setelah mengetahui diagnose untuk anak mereka. Jika bukan kerana keadaan mendesak, mungkin kami juga akan memilih jalan yang sama. Namun, Allah sahaja yang tahu mengapa hati rasa lebih berat untuk meneruskan sahaja rawatan di hospital meskipun diketemu pelbagai tohmahan berkenaan rawatan kemo yang kononnya berada di bawah monopoli pihak tertentu. Entah benar atau tidak. Bahkan ditambah pula dengan anasir-anasir tertentu untuk tidak menggalakkan pesakit mengambil kemo sebagai rawatan.

Yang pasti, kami memang inginkan yang terbaik buat Aneesah. Ya, kami tak nafi. Kemoterapi memang ada kesan sampingan. Rambut Aneesah berguguran. Emosinya pula kurang stabil. Marah tak tentu fasal. Namun, perubahan yang bakal berlaku itu telah dimaklumkan oleh doktor. Saya ingat lagi pesanan awal doctor; rawatan yang bakal kami jalani untuk Aneesah bukan datang daripada pihak doktor sahaja bahkan turut melibatkan kami sebagai ibu bapa. Makan, dan minumnya harus diambil perhatian. Kalau demam, terus bawa ke hospital tanpa berlengah.

Hari ini setelah setahun berlalu, pipi Aneesah sudah kemerah-merahan dan tidak pucat seperti dulu.

Saya cuma ingin nyatakan di sini secara ringkas, ketika Aneesah masih menerima rawatan intensif, dua kes meninggal dunia telah berlaku. Kedua-duanya telah menjalani rawatan di luar dahulu sebelum kembali untuk membuat rawatan kemoterapi. Namun, takdir Allah telah menyebabkan kedua-duanya dijemput lebih awal dan asbab yang menjadi punca kematian mereka adalah keadaan penyakit yang sudah kritikal dan makin teruk.

Bagi ibu bapa atau sesiapa jua yang masih dalam kebuntuan, saya sarankan kalian untuk berbincang dengan doktor. Mereka sudah berpengalaman, maka selayaknya mereka dijadikan rujukan berbanding Internet yang entah dari mana datang sumbernya. Paling tidak pun, berjumpalah dengan mereka yang telah berjaya menjalani kemoterapi sehingga sembuh. Insya-Allah, moga tuan/puan diberi petunjuk untuk memilih yang terbaik.