Jumaat, 20 Februari 2015

Sabarlah Wahai Hati-Hati Yang Sedang Diuji

Tengahari tadi, pesakit leukimia (Adik Qayyum) yang duduk dihadapan bilik Aneesah telah muntah-muntah dan mengalamai pendarahan dek denggi berdarah. Dengan segera adik Qayyum dipindahkan ke wad PHDU kerana kondisinya yang semakin teruk. Selama didalam wad, kakaknya mengambil tugas untuk menjaganya kerana Ibu mereka baru sahaja selamat melahirkan adik mereka pada 3 hari yang lalu. Ibunya menggagahkan jua diri untuk datang melihat kondisi anaknya dan kedengaran tangisan sayu seorang ibu mengenangkan nasib anaknya itu. Ingin sekali Ummi memberi kata-kata semangat pada si ibu Qayyum namun entah mengapa lidah serba kelu dan hanya mampu berdoa dalam hati agar dirinya dan ahli keluarga yang lain terus sabar dan tabah menerima ujian  ini. Moga adik Qayyum terus bertahan dan diberi kesembuhan seperti sediakala..Aameen ya Rabb.

Jam menunjukkan pukul 4.30pm. Aneesah meminta untuk minum air jus lobak. Kebetulan Abi datang untuk ziarah Aneesah, Ummi mengambil kesempatan untuk turun ke kafe ditingkat bawah untuk membeli air yang dipesan oleh Aneesah. Sebaik saja keluar dari bilik Isolasi, kelihatan staff nurse dan doktor meluru dengan laju menolak seorang pesakit kanser saraf (Adik Naufal) ke wad ICU. Dikhabarkan bahawa adik ini mengalami sesak nafas secara tiba-tiba dan kondisinya amat kritikal. Kelihatan ibunya menangis teresak-esak sambil mengiringi anaknya ke wad ICU. Ya Allah Engkau selamatkanlah adik Naufal dan berilah ketabahan dan kesabaran buat ibu ayahnya dan seluruh ahli keluarganya..Aameen Ya Rabb

Hati Ummi sekali lagi dirundung hiba. Ya Allah beratnya ujianMu buat mereka. Sabarlah wahai hati-hati yang diuji. Sesungguhnya Allah amat sayang pada kalian kerana itu kalian diuji sebegini hebat. Teruskan berdoa dan bersangka baik pada Allah atas ujian yang diberi kerana yakinlah Allah tidak pernah ingin membebani hamba-hambaNya dengan mehnah duniawi. Tetapi yang Allah mahu adalah agar kalian lebih dekat padaNya dan beroleh redha-Nya sebagai tiket untuk kalian masuk ke dalam syurga-Nya nanti.

"Ya Allah tetapkanlah redha dalam hati kami walau berat mana Engkau uji kami dan janganlah Engkau cabut redhaMu terhadap kami. Jadikanlah ujian itu sebagai jalan untuk kami peroleh Rahmat Kasih Sayang dan InayahMu..Ampunkanlah segala dosa-dosa kami dan terimalah taubat kami sesungguhnya Engkaulah yang Maha Menerima taubat hamba-hambaMu..Aameen Ya Rabb"