Sabtu, 21 Februari 2015

Ummi...Ummi

Hari ini hari ketiga Ummi berkampung di hospital bersama Aneesah. Alhamdulillah Aneesah mula menunjukkan tindak balas yang positif terhadap ubat antibiotik yang diberi sejak 3 hari yang lalu. Andai keputusan darah Aneesah esok semua normal, inshaAllah Aneesah dibenarkan pulang.

Sejak Ummi menemani Aneesah di hospital, setiap malam, kata Abi,, Sumayyah akan memanggil Ummi..Ummi...Sumayyah memanggil Ummi dan mencari-cari kelibat Ummi. Kasihan Sumayyah, terpaksa Ummi tinggalkan bersama Abi walaupun dirinya sedang mengalami chicken pox, namun Ummi tiada pilihan.

Aneesah terpaksa menjadi keutamaan untuk Ummi menjaganya kerana Aneesah tidak mahu Abi menemaninya di hospital. Berat hati ini namun terpaksa dipendam rasa sedih dalam diri demi untuk memberi semangat pada Aneesah agar cepat sembuh dan dapat segera pulang ke rumah dan ubati rindu Sumayyah dan Sakeenah pada Ummi.

Ya Allah, betapa besarnya anugerah kasih sayang yang Engkau berikan pada kami. Kerana kasih sayang, terbit rasa rindu. Kerana kasih sayang, mengundang rasa hiba dan sedih apabila berpisah. Kerana kasih sayang juga, hati-hati insan terikat walau berada berjauhan tetapi terasa amat dekat di hati.

Ya Allah tabahkanlah hati-hati kami untuk melalui ujianMu ini agar kelak kami mampu meraih redhaMu..HasbunAllah wa ni'mal wakil, fa ni'mal maula wa ni'man nasir (Cukuplah Allah itu sebagai sandaran dan sebaik-baik Penolong bagi orang-orang Mukmin)