Rabu, 25 Mac 2015

Rahsia Zuhud di Dunia Ini

Satu lagi mesej WhatsApp yang berguna.

Hasan Basri ditanya: "Apa rahsia zuhudmu di dunia ini?"

Beliau menjawab:
Aku tahu rezekiku tidak akan diambil orang lain, kerana itu hatiku selalu tenang.
Aku tahu amalku tidak akan dikerjakan orang lain, kerana itulah aku sibuk beramal soleh.
Aku tahu Allah Ta'ala selalu memerhatiku, kerana itulah aku malu jika Allah melihatku sedang dalam maksiat.
Dan aku tahu kematian itu sudah menungguku, kerana itulah aku selalu menambah bekal untuk hari pertemuanku dengan Allah. 

Sabtu, 14 Mac 2015

Si Pengembala Kambing, Versi Alternatif

Orang tua pernah berpesan, apabila kita diberi kepercayaan untuk melaksanakan atau menunaikan suatu amanah, maka janganlah kita memungkirinya. Jika tidak, kelak sukar untuk mendapat kepercayaan orang ramai. Ke mana jua kita pergi, kita akan dihantui dengan kisah lama. Si Fulan itu begitu dan begini. Orang tak percaya dah.

Si pengembala kambing yang telah menipu penduduknya. Siapa yang tak tahu ceritanya? Natijahnya, semua kambingya menjadi habuan serigala kerana tak ada seorang penduduk pun percaya kepada beliau.

Namun, jika diubah sedikit cerita tadi kepada versi lain, apa akan terjadi sekiranya si pengembala kambing itu sebenarnya dituduh sebagai seorang penipu? Padahal tiada niat apatah lagi keinginan untuk menipu. Natijahnya sama. Bezanya, punca pertama adalah kerana empunya badan, manakala yang kedua adalah kerana beliau dituduh yang bukan-bukan. Barangkali apabila pengembala kambing tadi memanggil penduduknya, tiba-tiba serigala itu hilang namun kambingnya tak terusik pun. Cuma apabila kali ketiga memanggil penduduk, barulah kesemua kambingnya habis dikebas serigala.

Berkata seorang ulama', yang paling tajam itu adalah lidah manusia. Jika tersilap pegang pisau sudah mampu mensiat daging atau menghiris kulit, maka tersilap kata pun mampu memberi kesan yang sama. Baru tersilap, jika memang berniat untuk menyakitkan, tentu lebih teruk.

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

بِسْمِ اللهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِى الأَرْضِ وَلَا فِى السَّمَاءِ
وَهُوَ السَّمِيعُ العَلِيمُ

Maknanya: "Dengan nama Allah yang dengan menyebut nama-Nya tidak ada sesuatu pun yang memudharatkan, sama ada di bumi mahu pun di langit. Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."


Sabtu, 7 Mac 2015

Doa Penyembuh Mata dan Penguat Pandangan

Bagi sesiapa yang mengalami masalah mata, sama ada rabun dan sebagainya, bolehlah cuba amalkan apa yang Ustaz Amin ajar di bawah. Menurut beliau, hendaklah diamalkan selepas solat wajib (seperti solat Subuh, Zuhur, dan sebagainya). Saya pernah mendapat ilmu yang sama daripada ustaz lain dan pernah amalkan semasa sakit mata. Insya-Allah, suatu ikhtiar yang mujarab.

Caranya

  1. Baca selawat sebanyak 3 kali.
  2. Kemudian bacalah sebanyak 3 kali:
    لَا إلَهَ إلَّا اللهُ نُورُ العَيْنِ مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللهِ قُرَّةُ العَيْنِ
  3. Tiupkan pada jari (seperti yang ditunjuk dalam video di bawah) dan sapukan pada mata (seperti yang ditunjukkan).
  4. Kemudian dibaca sebahagian daripada ayat 22 dalam Surah Qaf sebanyak 3 kali:
    فَكَشَفْنَا عَنكَ غِطَاءَكَ فَبَصَرُكَ الْيَوْمَ حَدِيدٌ
    Maknanya: "...maka Kami singkapkan tutup (yang menutup) matamu, sehingga penglihatanmu pada hari ini sangat tajam."
  5. Tiupkan di jari dan sapu pada mata (seperti yang ditunjukkan).
Semoga bermanfaat untuk semua.

Rabu, 4 Mac 2015

Tujuh Perempuan Bertanya, Seorang Lelaki Menjawab

[Diambil dan diubah suai daripada perkongsian WhatsApp]

Sekumpulan wanita sedang berhimpun berbincang tentang pelbagai masalah. Tanpa disedari, timbul persoalan daripada setiap wanita itu mengenai kekurangan pada wanita yang dirasakan sukar dan tidak adil. Setiap daripada mereka menyuarakan persoalan masing-masing.

Keluhan wanita pertama - "Semua nak ditutup!"

"Aduh, situ tutup, sini tutup, semua nak kena tutup. Susah la camni. Apasal laki-laki mudah saja? Tak pakai baju pun takpe. Perempuan auratnya kiri, kanan, atas, bawah, depan, belakang."

Keluhan wanita kedua - "Suami tak perlu taat isteri?"

"Islam kata kita perempuan wajib taat pada suami kita, tapi ada Islam cakap suami perlu taat pada isterinya? Mana keadilan pada kaum hawa?"

Keluhan wanita ketiga - "Ikut faraid, kita yang rugi!"

"Jika kita ikut faraid (pembahagian harta pusaka mengikut Islam), ikut surah al-Nisa' dalam hal pusaka, rugilah kita. Sebab bahagian harta pusaka perempuan lagi sikit rasanya berbanding harta yang anak lelaki dapat. Itukah keadilan?"

Keluhan wanita keempat - "Masa mengandung, kita paling sengsara!"

"Kenapa Allah jadikan wanita mengandung dan rasa sakitnya nak melahirkan anak? Suami kita senang saja, masa buat anak cari kita. Masa nak beranak, kita yang tanggung sendiri!"

Keluhan wanita kelima - "Nak keluar kena minta izin suami!"

"Kenapa la kita para isteri ni nak keluar kena minta izin dari suami pulak? Padahal suami nak keluar ke mana-mana pun, tak bagitau kami takpe pulak."

Keluhan wanita keenam - "Tersekat untuk lakukan ibadah. Kena ganti pula!"

"Wanita takleh nak beribadat macam lelaki, sebab ada haid dan nifas, takleh nak solat dan puasa. Ingat kita perempuan ni suka ke tak solat dan puasa? Dahlah lepas tu kena ganti pulak."

Keluhan wanita ketujuh - "Suami saja yang boleh jatuhkan talak!"

"Bila nak cerai je, suami yang boleh jatuhkan talak. Kenapa isteri tak boleh ceraikan suaminya? Kenapa?"

Kemudian datanglah seorang lelaki kepada mereka lalu ditanya, mengapa mereka mengomel tentang kejadian wanita dan kekurangan-kekurangan tersebut. Setelah disoal dengan soalan-soalan di atas, lelaki itu lantas memandang setiap wanita itu sambil tersenyum, seraya menjawab setiap satu daripadanya.

Jawapan pertama - "Mahalnya seorang wanita untuk seorang lelaki"

Pada wanita pertama, lelaki itu menjawab:
"Cik adik, Islam lah yang mengangkat aurat wanita. Benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan di tempat yang paling aman dan terbaik, kan? Emas dan permata pun tak sanggup kita nak letak terdedah di tepi laluan lalu lalang, sebaliknya kita simpan di rumah atau dalam peti selamat kan? Jika anda letakkan perhiasan tadi di kalangan orang, agaknya apa akan jadi dengan barang perhiasan tadi? Lelaki, yang utama hanyalah bawah pusat ke lutut, tapi anda? Saya tidak dapat melihat kulit anda pun kecuali muka dan tangan!! Mahalnya harga anda untuk seorang lelaki."

Jawapan kedua - "Suamilah yang menanggung dosa anda"

Pada wanita kedua, lelaki itu menjawab:
"Memang, isteri perlu taat pada suami. Tapi, bagaimana pula lelaki? Seorang suami perlu wajib taat juga kepada ibunya tiga kali lebih utama dari ayahnya, walaupun dia sudah berkeluarga. Isteri pula tidak perlu lagi. Taatnya hanya pada suami. Kenapa anda perlu taat pada suami? Kerana suami andalah yang menanggung SEMUA dosa yang anda lakukan."

Jawapan ketiga - "Harta perempuan adalah mutlak, harta lelaki dibahagikan"

Pada wanita ketiga, lelaki itu menjawab:
"Benar wanita menerima warisan pusaka sedikit berbanding lelaki, tetapi harta itu menjadi hak mutlak untuk wanita itu dan dia berhak lakukan apa saja yang dia mahu. Tak perlu dikongsi dengan sesiapa walaupun suami. Lelaki pula, dia perlu membahagikan harta pusaka itu kepada isteri dan anak-anaknya. Kalau isteri dia ramai, anak dia ramai, harta pulak secebis, tak merasalah dia."

Jawapan keempat - "Didoa oleh malaikat, dikira syahid andai meninggal"

Pada wanita keempat, lelaki itu menjawab:

"Tahniah dan terima kasih kepada wanita kerana dapat mengandung dan melahirkan. Setiap kali anda begitu, anda akan didoakan oleh sekalian makhluk dan malaikat. Subhanallah,beruntungnya anda!! Andaikan anda meninggal pula masa beranak tu, percayalah, itu mati syahid dan ganjarannya syurga!!"

Jawapan kelima - "Lelaki bertanggungjawab ke atas empat orang wanita"

Pada wanita kelima, lelaki itu menjawab:
"Akhirat nanti, saya dan lelaki lain di dunia ini akan diminta bertanggungjawab ke atas empat orang wanita. Mereka ialah isteri saya, ibu saya, anak perempuan saya dan adik perempuan saya. Tahu apa maksudnya? Maknanya, anda nanti di akhirat akan dibantu oleh empat lelaki. Siapa mereka? Mereka ialah suami anda, ayah anda, anak lelaki anda dan adik lelaki/abang anda."

Jawapan keenam - "Wanita boleh masuk sebarang pintu syurga"

Pada wanita keenam, lelaki itu menjawab:
"Nak beribadat macam lelaki beribadat? Agaknya kenapa Rasulullah SAW lebih suka wanita beribadat di rumah saja berbanding di masjid? Kami lelaki perlu beribadat siang malam untuk mendapat syurga. Anda sebagai wanita boleh masuk sebarang pintu syurga yang anda sukai, tanpa perlu susah payah. Ya, dah la syurga, ada pilihan pula, hanya dengan empat cara. Solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga kehormatan dan taat pada suami anda. Itu saja."

Jawapan ketujuh - "Pahala fisabilillah tanpa perlu angkat senjata"

Pada wanita ketujuh, lelaki itu menjawab:
"Saya, seorang lelaki wajib berjihad fisabilillah. Anda, seorang wanita jika taat akan suaminya, dan menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah, maka anda akan turut menerima pahala setara seperti pahala orang pergi berjihad fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata. Itu janji Allah pada kamu."
Kemudian lelaki itu bertanya mereka pula:

"Sebenarnya, apa lagi yang awak mahu, wahai kaum hawa?"

Wanita-wanita tadi menangis dan salah seorangnya berkata, "Masya-Allah, sayangnya Allah pada wanita, namun kami sendiri yang mengheret diri ke neraka yang mana ramainya kaum kami berbanding kaum lelaki!"

Kesimpulan 

Allah yang menciptakan kita, maka sudah pasti Dia yang Maha Mengetahui pada manusia, sehingga segala hukumNya, malah peraturan-Nya, tentulah yang terbaik bagi manusia dibandingkan dengan segala peraturan yang dicipta manusia.

"Dan barangkali kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan barangkali (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”

(Surah al-Baqarah, ayat 216)

* Walaahu a'lam. Sebarang kesilapan pada pos ini, mohon ditegur dan diperbetulkan. Moga kita mendapat manfaat bersama.