Sabtu, 14 Mac 2015

Si Pengembala Kambing, Versi Alternatif

Orang tua pernah berpesan, apabila kita diberi kepercayaan untuk melaksanakan atau menunaikan suatu amanah, maka janganlah kita memungkirinya. Jika tidak, kelak sukar untuk mendapat kepercayaan orang ramai. Ke mana jua kita pergi, kita akan dihantui dengan kisah lama. Si Fulan itu begitu dan begini. Orang tak percaya dah.

Si pengembala kambing yang telah menipu penduduknya. Siapa yang tak tahu ceritanya? Natijahnya, semua kambingya menjadi habuan serigala kerana tak ada seorang penduduk pun percaya kepada beliau.

Namun, jika diubah sedikit cerita tadi kepada versi lain, apa akan terjadi sekiranya si pengembala kambing itu sebenarnya dituduh sebagai seorang penipu? Padahal tiada niat apatah lagi keinginan untuk menipu. Natijahnya sama. Bezanya, punca pertama adalah kerana empunya badan, manakala yang kedua adalah kerana beliau dituduh yang bukan-bukan. Barangkali apabila pengembala kambing tadi memanggil penduduknya, tiba-tiba serigala itu hilang namun kambingnya tak terusik pun. Cuma apabila kali ketiga memanggil penduduk, barulah kesemua kambingnya habis dikebas serigala.

Berkata seorang ulama', yang paling tajam itu adalah lidah manusia. Jika tersilap pegang pisau sudah mampu mensiat daging atau menghiris kulit, maka tersilap kata pun mampu memberi kesan yang sama. Baru tersilap, jika memang berniat untuk menyakitkan, tentu lebih teruk.

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

بِسْمِ اللهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِى الأَرْضِ وَلَا فِى السَّمَاءِ
وَهُوَ السَّمِيعُ العَلِيمُ

Maknanya: "Dengan nama Allah yang dengan menyebut nama-Nya tidak ada sesuatu pun yang memudharatkan, sama ada di bumi mahu pun di langit. Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."