Isnin, 20 April 2015

Ahmad Zulhilmi Assanah - Rakan Seperjuang dalam Kenangan

Makin usia meningkat, maka makin ramailah di kalangan kenalan dan ahli keluarga kita yang dijemput pergi. Saban hari, ada sahaja beritanya. Semuanya menjadi adat kehidupan hinggalah malakul-maut datang mencabut nyawa kita sendiri. Wahai bakal jenazah, bersiap sedialah kalian kerana kematian itu pasti!

Seusai berwudhu' pada Subuh hari Sabtu yang lalu, saya dikejutkan dengan berita kehilangan seorang sahabat yang pernah sama-sama menuntut di Taman Ilmu dan Budi. Dikhabarkan beliau bersama ibu dan bapa telah meninggal kerana terlibat dalam sebuah kemalangan. Yang lain, saya percaya, masih menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh. Syafaahumullah.

Siapa mampu menghalang takdir. Sebagai hamba-Nya, kita akur dan redha. Takziah buat ahli keluarga. Moga kalian tabah dengan dugaan ini.

Saya kenal Zul sejak di matrikulasi UIAM, Petaling Jaya. Arwah memang peramah. Apabila berdepan dengan masalah, raut wajah tetap tersenyum dan bersahaja. Beliau cukup disenangi ramai. Ini antara kelebihan yang ada pada arwah yang saya cukup cemburu. Ya Allah, cucurilah rahmat-Mu ke atas roh sahabat kami serta ibu dan bapanya. Amin.