Ahad, 13 September 2015

Tak Ada Duit, Tak Boleh Hidup

Dalam keadaan tidak sengaja, mungkin kita pernah mengungkapkan kata-kata syirik seperti di atas. Terkesan sungguh dengan ketiadaan wang hingga merasakan wang itu segala-galanya. Duitlah yang boleh menyembuhkan anak kita daripada penyakitnya. Duitlah yang boleh membuat anak kita jadi bijak pandai; hantar sekolah, bayar tusyen, beli buku latih tubi, dan sebagainya. Duitlah yang mampu mengurniakan kebahagiaan untuk keluarga kita.

Duitkah punya kuasa untuk menentukan nasib kita semua?

Diri ini pun sering kali tertipu dengan dunia. Maka sama-samalah kita beristighfar, memanjatkan doa agar Allah tetapkan hati kita semua untuk mengagungkan-Nya dan menyedari hakikat kekuasaan-Nya. Tiada siapa yang lebih berhak menentukan nasib kita melainkan Allah.

Terdetik saya untuk menulis entri ini kerana sebuah video ceramah Ustaz Azhar Idrus (minit 45:27 hingga 46:11):


Suka untuk saya berkongsi satu mesej WhatsApp. Apa kata kita menjawabnya:
Beri jawapan di tempat kosong di bawah ini dan mohon dijawab dengan jujur di dalam hati masing-masing.

1. Allah menciptakan tertawa dan ______
2. Allah itu mematikan dan ______
3. Allah menciptakan lelaki dan ______
4. Allah memberikan kekayaan dan ______

Kebanyakkan kita tentu akan dengan mudah menjawab:
1. Menangis
2. Menghidupkan
3. Perempuan
Tapi bagaimana no. 4? Adakah Kemiskinan menjadi jawapannya???

Untuk mengetahui jawapannya, mari kita lihat rangkaian firman Allah dalam Surah An-Najm ayat 43-45, dan 48, sebagai rujukan:
ﻭَﺃَﻧَّﻪُ ﻫُﻮَ ﺃَﺿْﺤَﻚَ ﻭَﺃَﺑْﻜَﻰ
"dan Dia-lah yang menjadikan orang tertawa dan menangis." (QS. An-Najm : 43).
ﻭَﺃَﻧَّﻪُ ﻫُﻮَ ﺃَﻣَﺎﺕَ ﻭَﺃَﺣْﻴَﺎ
"dan Dia-lah yang mematikan dan menghidupkan." (QS. An-Najm : 44).
ﻭَﺃَﻧَّﻪُ ﺧَﻠَﻖَ ﺍﻟﺰَّﻭْﺟَﻴْﻦِ ﺍﻟﺬَّﻛَﺮَ ﻭَﺍﻟْﺄُﻧﺜَﻰ
"dan Dia-lah yang menciptakan berpasang-pasangan lelaki-lelaki dan perempuan. " (QS. An-Najm : 45).
ﻭَﺃَﻧَّﻪُ ﻫُﻮَ ﺃَﻏْﻨَﻰ ﻭَﺃَﻗْﻨَﻰ
"dan Dia-lah yang memberikan kekayaan dan kecukupan." (QS. An-Najm : 48).

Ternyata jawapan kita semua betul untuk no. 1-3, tetapi jawapan untuk no. 4 ramai keliru.
Jawapan Allah Ta'ala dalam Al-Qur'an bukan Kemiskinan, tapi KECUKUPAN.

Subhanallah. Sesungguhnya Allah Ta'ala hanya memberi Kekayaan dan Kecukupan kepada hamba-Nya. Dan ternyata yang "menciptakan" kemiskinan adalah diri kita sendiri.

Itulah hakikatnya, mengapa orang-orang yang sentiasa bersyukur; walaupun hidup serba kekurangan ia akan tetap tersenyum dan merasa cukup, bukan merasa miskin!

Jadi, marilah kita bangun rasa kesyukuran dan kecukupan di dalam hati dan fikiran kita, berhenti mengeluh, berhenti mengatakan rezeki kecil, agar kita menjadi hamba-Nya yang selalu bersyukur.

Semangat menjemput rezeki yang halal, biar semakin berkat.. In shaa Allah.